ARKIB : 02/06/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
MISI Negeri Sembilan masih belum
berakhir meskipun pasukan itu sudah bergelar juara Piala FA kata jurulatih, K.
Devan.
Devan menegaskan bahawa misi
pasukannya belum terhenti sebaliknya mahu meneruskan usaha mencari gelaran
kedua.
``Kita harus ingat bahawa
perjuangan belum selesai,'' kata Devan selepas perlawanan yang mencipta sejarah
itu kerana Negeri Sembilan merupakan pasukan Perdana Dua pertama muncul juara.
Devan tidak mahu anak-anak
buahnya terbuai dengan habuan yang dijanjikan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri
Sembilan (PBNS) dan berharap fikiran pemain tidak tergugat daripada menumpukan
perhatian untuk memburu kejuaraan Perdana Dua untuk mencari tempat Liga Super
musim depan.
``Para pemain hanya diberi cuti
rehat selama dua hari sahaja. Pada 5 Jun ini kita akan menghadapi TNB Kelantan
dan saya mengharapkan aksi konsisten daripada para pemain,'' jelas Devan, yang
meninggalkan jawatan pegawai kanan kesihatan selama setahun kerana tekadnya
untuk membantu menaikkan martabat bola sepak Negeri Sembilan.
Devan menangis sebaik sahaja
pemain dari Brazil, Everson Martinelli menjaringkan gol emas pada minit ke-95
permainan masa tambahan sudden-death dan memberitahu beliau terharu kerana pengorbanannya
membuahkan hasil.
``Tugas untuk menaikkan taraf
Negeri Sembilan bukan mudah. Ia satu tanggungjawab besar bagi saya.
``Tetapi keyakinan terhadap diri
sendiri dan kepercayaan yang diberikan oleh para pemain, kami telah menjadikan
skuad ini sebagai satu unit yang mantap,'' jelas beliau.
Kejayaan kelmarin merupakan yang
pertama dalam tempoh 55 tahun bagi Negeri Sembilan sejak merangkul Piala HMS
Malaya pada 1948. Sudah tentu wajar bagi Devan untuk menitiskan air mata
gembira.
Bagi Perlis, yang menerima hadiah
RM50,000 selaku naib juara, kekalahan kepada Negeri Sembilan bukan bermakna
mereka gagal.
Perlis, sekali pun dari kelompok
pasukan Perdana Satu dan mendapat sentuhan bekas penolong jurulatih negara,
Norizan Bakar, pada hakikatnya adalah pasukan underdog dalam perlawanan itu.
Ini kerana Negeri Sembilan
memiliki pemain-pemain yang nyata lebih hebat.
Kemampuan mereka membawa skuad
Rusa mengharungi perlawanan sehingga ke masa tambahan sudden-death sudah cukup
membuktikan betapa Perlis turut layak untuk diberikan penghormatan.
Perlu diingat juga, para
penyokong kedua-dua pasukan wajar berasa bangga dengan diri masing-masing
kerana berpegang kepada semangat kesukanan yang telah mengelakkan daripada
berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
Walaupun letupan mercun
kedengaran sekali ketika Negeri Sembilan memperoleh gol penyamaan menerusi
Effendi Malek pada minit ke-56, perlawanan akhir kelmarin boleh dianggap
sebagai paling bersih dan berjaya dalam sejarah bola sepak profesional tempatan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cxsFZ9i2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan