Isnin, 25 Julai 2016

Affendi Julaihi sarung jersi Negeri Sembilan

ARKIB : 06/02/1998
PENYERANG lincah Sarawak, Affendi Julaihi sudah berpatah arang untuk menyarung jersi skuad Negeri Sembilan dalam kancah pertandingan Liga Malaysia musim ini yang dijadual bermula Mac depan, ANUAR ARIFFIN melaporkan.

Lamaran jurulatih 'si Rusa', M. Karathu sebelum Hari Raya Puasa tempoh hari rupa-rupanya disambut dengan positif oleh pemain berusia 28 tahun itu.

Biarpun tindakan itu pasti akan mengecewakan peminat-peminat bola sepak di negeri ini, tetapi Affendi, bekas pemain kebangsaan tetap dengan keputusannya.

Malah, pemain yang digelar 'raja pecut Liga Malaysia' itu sudah membulatkan tekad untuk berjuang bersama-sama skuad 'Hoben Jang Hoben' yang selama ini menjadi 'seteru'nya di tengah padang.

Affendi sendiri mengakui bahawa majlis menandatangani perjanjian antaranya dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan diadakan di Seremban, Isnin ini.

Difahamkan, turut bersama beliau menandatangani perjanjian itu ialah bekas penyerang berbisa Sabah, Scott Ollerenshaw.

''Sepatutnya, majlis itu diadakan dua hari lalu tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana saya harus menyelesaikan beberapa perkara dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terlebih dahulu,'' kata Affendi di Kuching, semalam.

Katanya, beliau mahu menemui Presiden FAS, Datuk Taha Ariffin dan pengurus serta jurulatih, Alan Vest terlebih dahulu sebaik sahaja kedua-dua mereka kembali dari Australia, esok.

Menurut Affendi, tidak ada krisis yang berlaku antaranya dengan FAS yang menelurkan hasrat untuk memperjudikan nasib di negeri orang.

''Saya mahu timba pengalaman bermain dengan pasukan lain di samping mempertingkatkan mutu permainan bola sepak saya.

''Ini merupakan satu penghormatan kepada pemain-pemain Sarawak dan saya yakin ia akan dapat membawa faedah kepada skuad Bujang Senang pada masa depan,'' ujarnya.

Benarlah, selama ini yang diperkatakan Affendi bahawa dia berhasrat untuk berhijrah dalam memantapkan kariernya dalam bidang bola sepak.

Pemain 'lipas kudung' itu sebelum ini pernah dikaitkan akan menyarung jersi Kuala Lumpur tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, pemain itu terus kekal bersama Bujang Senang untuk tempoh setahun dan telahpun menurunkan tandatangan pada kontrak yang disediakan.

Dengan episod terbaru ini menjadikan Affendi, pemain pertama dari skuad Bumi Kenyalang menyarung jersi negeri lain setelah bertahun-tahun 'mengabdikan' diri bersama negeri kelahiran.

Karathu 'menyunting' Affendi untuk digandingkan bersama Ollerenshaw bagi mempertajamkan jentera serangan skuad 'Si Rusa' selepas impian mengikat penyerang, Azman Adnan dari Selangor tidak kesampaian.

Sementara itu, latihan skuad bola sepak Sarawak akan bermula Ahad ini di Stadium Sarawak.

Dan, kemungkinan besar kelibat dua bekas pemain Sabah, Yap Kwai Loon dan Suharmin Yusof akan mewarnai latihan tersebut dan disebut-sebut akan memantapkan skuad Bujang Senang musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FUjM3qkM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan