ARKIB : 04/01/2003
NEGERI SEMBILAN mendapat berita
gembira apabila pemain Perlis, Anuar Jusoh bersetuju menyertai skuad Rusa musim
ini.
Setiausaha Persatuan Bolasepak
Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pemain yang
berasal dari Terengganu itu adalah pemain terbaru yang berjaya diperoleh oleh
PBNS setakat ini.
``Khidmat pemain itu memang
diperlukan bagi menguatkan lagi jentera bahagian tengah pasukan,'' katanya
kepada Bernama di Seremban, semalam.
Negeri Sembilan sebelum ini
mendapat khidmat beberapa bekas pemain Selangor seperti penjaga gol Azlisham
Ibrahim, Azman Adnan, Lim Chan Yew, Mohd. Aiman Wong Abdullah dan B.
Rajanikandh.
Negeri Sembilan turut
diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain TNB Kelantan, Azrul Amri Burhan,
bekas pemain Telekom Melaka, Khairul Anuar Baharom, bekas pemain Kedah, Reduan
Mohd Radzy dan bekas pemain Melaka Rosli Omar, musim ini.
Pemain musim lepas yang
dikekalkan ialah Mohd Suffian Abdul Rahman (penjaga gol), Norhafiz Zamani
Misbah, Efendi Abdul Malek, Azrine Efendy, Mohd Saiful Sabtu, S. Palanisamy, K.
Rajan, Shahrizam Mohamad, Mohd Yunus Mulup dan Norhainizam Shahabudin.
``Kesemua pemain ini telah
bersetuju bermain dengan kita dan mereka dijangka menandatangani kontrak minggu
depan. Kontrak mereka kebanyakannya untuk tempoh setahun.
``Kita berharap mendapatkan
khidmat beberapa pemain lagi termasuk pemain import bagi melengkapkan senarai
25 pemain sebelum saingan liga bermula bulan depan.
``Kita yakin pelaburan besar itu
akan berbaloi dalam usaha mencapai sasaran memenangi sebuah piala musim ini dan
kembali semula kepada saingan Liga Perdana Satu musim depan,'' katanya.
Mengenai penyerang Pulau Pinang,
Hasmawi Hassan, Abdullah Sani berkata PBNS tetap akan mendaftarkan nama pemain
itu bersama pasukan negeri musim ini.
``Kita tetap berpegang kepada
terma dalam surat perjanjian dan menganggap ia adalah sah sebelum kontrak
sebenar ditawarkan. Surat persetujuan itu turut mengandungi jumlah gaji yang
ditawarkan dan dipersetujui pemain terbabit serta beberapa kemudahan lain.
``Jika pemain itu enggan bersama
Negeri Sembilan, kita akan hantar surat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Status
Pemain dan berharap tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengelak perkara ini
daripada terus berlaku masa depan,'' katanya.
Hasmawi dilaporkan menandatangani
surat persetujuan untuk bermain bersama Negeri Sembilan pertengahan November
lepas di hadapan Timbalan Presiden PBNS Datuk Jamaludin Ahmad, tetapi kemudian
mengubah fikirannya untuk kekal bersama Pulau Pinang.
Abdullah Sani berkata soal
memaksa pemain itu tidak timbul kerana dia sendiri telah bersetuju dan
menandatangani surat prsetujuan untuk bersama Negeri Sembilan. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4cRkpv5Kg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan