ARKIB : 25/03/1998
PERSEMBAHAN hambar penjaga gol,
Othman Kathmon dan Faizal Zainal menimbulkan rasa kurang senang hati jurulatih
M. Karathu yang kecewa dengan prestasi kedua pemain itu sewaktu menentang
pasukan Telekom Malaysia Berhad, pada perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi, kelmarin, SHAZALI HUSSAIN melaporkan.
Menurut Karathu, sebagai pemain
yang berpengalaman Othman dan Faizal perlu membaiki dan meningkatkan semula
persembahan mereka jika tidak mahu kehilangan tempat dalam pasukan.
''Saya kecewa kerana Othman
melepaskan gol pertama yang mudah kerana tidak berada pada posisi yang betul,
oleh itu dia perlu berhati-hati dan meningkatkan semula prestasi.''tegasnya.
Begitu juga, Karathu yang
ternyata tidak berpuashati dengan persembahan permainan Faizal dan mahukan
pemain itu lebih kerap menjalani latihan.
''Saya mahu Faizal banyak
berlatih kerana dia begitu lama tidak bermain, jadi dia perlu berhati-hati dan
mengelakkan dari kecederaan,''ujarnya.
Bagaimanapun Negeri Sembilan
yang tidak menurunkan empat pemain utama termasuk penyerang berbisa Scott Ollerenshaw,
Effendi Julaihi, Ching Hong Aik dan Ahmad Shahrul masih mampu menewaskan
Telekom 7-3.
''Sebenarnya saya merehatkan
pemain ini kerana bimbang kecederaan mereka akan lambat pulih kerana perlawanan
Liga akan bermula tidak lama lagi,''ujarnya.
Dalam perlawanan yang
disaksikan lebih 2,000 penyokong terpegun dengan kelincahan bekas penyerang
muda Melaka, Halim Jantan yang melakukan jaringan hat-triknya.
Manakala empat gol lagi
dijaringkan melalui perancang tengah Guss Cerro (dua gol), A. Ganeson dan pemain
muda Norhisham Ismail masing-masing menjaringkan satu gol.
Selain Halim, para penyokong
turut memuji beberapa pemain termasuk Cerro, Zami Mohd Noor, A. Ganeson dan
beberapa pemain muda berjaya mempamerkan persembahan yang mantap dan cemerlang.
''Saya akui pemain-pemain ini
cukup berpengalaman oleh kerana itu mereka harus meningkat serta mengekalkan
prestasi yang sama dalam perlawanan liga nanti,''katanya.
Mengenai Pedro Paulo Oliveira,
Karathu berkata, dia gembira dan yakin dengan permainan cemerlang pemain dari
Brazil itu.
''Setakat ini persembahan Pedro
sebagai sweeper amat meyakinkan,'' kata Karathu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FmlhLGTN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan