ARKIB : 10/10/2000
TEMPOH 52 tahun untuk mengecapi
saat manis beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia tidak akan disia-siakan
oleh skuad Negeri Sembilan, malahan jentera serangan dan pertahanan akan terus
digilap sebagai nadi menentang Perak, Ahad ini, lapor HATTA WAHARI.
Inilah harapan jurulatih anak
tempatan, Mohd. Zaki Ahmad, terhadap keyakinan yang diletakkan ke atas anak
buahnya pada perlawanan berprestij di Stadium Shah Alam, Selangor, hujung
minggu ini.
Katanya, pertemuan skuad Rusa
dengan Perak mempunyai kelebihan tersendiri dan pastinya sengit dan
dinanti-nanti oleh peminat bola sepak tanah air.
Jelas Mohd. Zaki, walaupun
begitu pemain perlu diserap semangat 'gempur' yang kuat dan akan terus menerima
bimbingan motivasi, selain pihaknya mengatur strategi menentang ketangkasan
skuad Seladang itu.
Tambahnya, selepas pemain
diberikan rehat selama dua hari, beliau yakin mereka lebih bersedia dari segi
mental dan fizikal untuk memperlengkapkan diri pada perlawanan akhir Piala
Malaysia nanti.
''Kita memberi tumpuan cara
terbaik untuk berhadapan dengan Perak, skuad yang dibimbing oleh jurulatih Karl
Heinz Weigang dengan mempunyai kemahiran taktikal yang tinggi,'' katanya ketika
di temui di Seremban, semalam.
Mohd. Zaki memberitahu, beliau
dari awal lagi telah menduga sekiranya skuad bimbingannya mara ke perlawanan
akhir, pasukan yang akan ditemui nanti ialah Perak.
Ini katanya, berdasarkan kemampuan
Weigang mengatur strategi dalam mengembalikan maruah pasukan itu pada pertemuan
separuh akhir menentang Selangor.
Katanya, percaturannya itu kini
menjadi kenyataan setelah Perak menewaskan Selangor dengan agregat 4-2.
Walaupun tewas pada pusingan separuh akhir pertama 1-2, Perak mampu untuk
menang dengan jaringan yang besar dalam pusingan kedua, 3-0 untuk membenamkan juara
Liga Perdana Satu itu.
Katanya, skuad Rusa kini berada
dalam keadaan selesa berikutan kemampuan pemain yang kini berupaya mengawal
mental apabila berada dalam suasana tegang di tengah padang.
''Ini dibuktikan mereka apabila
beraksi pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, Sabtu lepas, walaupun Sarawak menjaringkan gol terlebih dahulu pada
minit ke-9,'' ujarnya.
Menurutnya lagi, ''pemain
Negeri Sembilan tidak hilang tumpuan malahan dapat menjaringkan gol penyamaan dalam
tempoh yang singkat iaitu pada minit ke-10 dan menjaringkan gol kemenangan pada
minit ke-13.
''Ini membuktikan bahawa pemain
telah berjaya mengawal rasa takut dan gementar.
''Mungkin dari pengalaman
mereka menentang Kelantan semasa perlawanan suku akhir di Kota Bharu serta
bertemu Sarawak pada separuh akhir pertama,'' katanya.
Mohd. Zaki menegaskan, kini
tugas utamanya ialah menyusun strategi baru serta memastikan pemain dapat
memberikan penumpuan dan komitmen yang tinggi semasa perlawanan akhir nanti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b4LkZoXN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan