Sabtu, 11 Mac 2017

NS mahu Perak bermain secara terbuka


 

ARKIB : 14/10/2000
BARISAN Negeri Sembilan (dari kiri), Azmi Mohamad, Efendi Malek, Leong Hong Seng, Mohd. Noor Sheikh Ibrahim, Mohd. Saiful Sabtu dan K. Rajan bermesra dengan dua anak Azmi ketika bersantai di Port Dickson, semalam.

NEGERI Sembilan menjanjikan permainan penuh aksi dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia apabila bertemu Perak di Stadium Shah Alam esok.

Jurulatihnya, Mohd. Zaki Ahmad berkata, apa yang diharapkan dalam perlawanan akhir itu nanti ialah kedua-dua pasukan akan bermain secara terbuka.

''Pertemuan 'Rusa' dan 'Seladang' dalam perlawanan akhir nanti pastinya akan menjadi permainan yang paling baik dalam sejarah perlawanan akhir Piala Malaysia.

''Negeri Sembilan akan tetap dengan permainan yang ditonjolkan semasa perlawanan-perlawanan suku akhir dan separuh akhir lepas, penuh dengan serangan berbahaya serta bermain secara terbuka,'' katanya di Port Dickson, semalam.

Katanya, Rusa dan Seladang merupakan dua pasukan yang mengamalkan serangan-serangan pantas dan pastinya ini akan di tonjolkan dalam perlawanan akhir.

Negeri Sembilan yang bakal dikemudi oleh barisan penyerang muda seperti Efendi Malek, K. Rajan, Wong Sai Kong, M. Elango selain dibantu oleh pemain berpengalaman, Azman Adnan pastinya akan mempamerkan aksi-aksi emas.

''Atas kertas, Negeri Sembilan dan Perak mempunyai pemain tengah dan serangan yang berkaliber tetapi atas padang semangat berpasukan akan menjadi kelebihan kepada pasukan,'' katanya.

Mohd. Zaki memberitahu, dua hari berada di Port Dickson cukup menyamankan kepada pemain dan pegawai, dengan suasana di tepi pantai serta tidak merasa tekanan dan gangguan, skuad Rusa dapat mencapai matlamat untuk menyemai semangat juang di kalangan pemain.

Kehadiran ahli keluarga di kalangan pemain yang sudah berumah tangga seperti Khairul Anuar Baharom dan Azman juga dapat mewujudkan suasana riang dan ceria di kem latihan skuad Negeri Sembilan.

Beliau yakin pasukannya mampu untuk muncul juara Piala Malaysia.

Katanya, inilah peluang keemasan yang muncul sekali dalam tempoh 52 tahun.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b5NVxDJz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan