ARKIB : 24/05/2001
SKUAD Rusa kini semakin tempang
dalam musim bola sepak tahun ini berikutan kegagalan untuk menempatkan diri
dalam empat pasukan ke perlawanan separuh akhir Piala FA tetapi apa yang lebih
menyedihkan, kekalahan itu di tangan sebuah pasukan bertaraf kelab dan dari
Liga Perdana Dua, lapor HATA WAHARI.
Negeri Sembilan gagal untuk
menempatkan diri ke separuh akhir selepas kalah dengan agregat 3-2 menentang
JKR Kelantan dengan tewas di tempat lawan 1-2 dan hanya mampu seri 1-1 di
tempat sendiri.
Ketempangan skuad Rusa ini
berkait rapat kegagalan jurulatihnya, Zaki Sheikh Ahmad untuk mengasah
pemain-pemain simpanan untuk menggantikan pemain-pemain utama yang dilanda
kecederaan.
Perlawanan dengan JKR Kelantan
pada malam Selasa lepas membuktikan bahawa, pemain simpanan tidak mampu untuk
membawa skuad Rusa mencapai kemenangan dan mencapai harapan peminat agar
pasukan tersebut merangkul salah satu daripada piala yang dipertandingkan pada
musim ini.
Separuh masa pertama
memperlihatkan penguasaan total skuad Rusa yang di barisi oleh Azman Adnan,
Mohd. Shukor Adan yang telah menyumbang gol penyamaan dan A. Ganeson, Khairul
Anuar Baharom yang melancarkan asakan demi asakan yang menyebabkan penjaga gol
JKR Kelantan, Md Yusran Mat Sharif terpaksa berkerja keras menyelamat gawang.
Tetapi separuh masa kedua,
apabila Azman Adnan, Mohd. Shukor Adan dan A. Ganeson yang sememangnya masih
belum pulih sepenuhnya dari kecederaan dan terpaksa dikeluarkan serta diganti
oleh Zami Mohd. Noor, Noor Isham Kamaruddin, permainan skuad Rusa terus
merosot, tidak ada lagi serangan berbahaya.
Apa yang menyedihkan Zami Mohd.
Noor layu dan kaku di hadapan pintu gol malahan meletakkannya di bahagian
jentera serangan kesilapan paling besar Zaki memandangkan Khairul dan Leong
Hong Seng terpaksa membantu jentera serangan yang semakin tumpul dan tidak
bermaya.
Skuad rusa ini kini terlepas
Piala FA, untuk menjuarai Liga Perdana jauh sama sekali malahan untuk
menempatkan diri dalam kelompok lima teratas di dalam Liga Perdana Satu juga
agar sukar memandangkan prestasi yang semakin menurun pada masa ini.
Zaki yang ditemui baru-baru ini
mengakui bahawa barisan pemain simpanan skuad Rusa tidak menyengat malahan pada
satu peringkat tidak menunjukkan langsung mereka pemain berwibawa.
Beliau yang kelihatan sedih
dengan keadaan skuad Rusa yang bukan sahaja berhadapan dengan kecederaan
pemain-pemain utama tetapi berhadapan dengan pemain simpanan yang tidak dapat
membantu pasukan untuk mencapai kejayaan.
``Saya tidak dapat melaksanakan
sebarang strategi yang telah diatur berikutan masalah kecederaan pemain-pemain
utama, malahan untuk menurunkan pemain pada setiap perlawanan juga kini
merupakan satu masalah,'' katanya.
Namun katanya, beliau mungkin
terpaksa mencuba pendekatan berlainan untuk meningkatkan semula permainan skuad
Rusa
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bdMDs7yb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan