Jumaat, 31 Mac 2017

Kontroversi separuh akhir Piala FA - Negeri Sembilan sah ke akhir



ARKIB : 22/05/2003

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) semalam membuat keputusan memberi Negeri Sembilan kemenangan 3-0 ke atas Sabah pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Kota Kinabalu minggu lepas, yang terhenti akibat rusuhan penonton.

Keputusan itu bermakna Negeri Sembilan akan menentang Perlis, yang menang agregat 5-3 ke atas Sarawak, dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei ini di Stadium Perak, Ipoh.

Perlawanan kedua separuh akhir antara Sabah dengan Negeri Sembilan di Stadium Likas terhenti pada minit ke-83 setelah penonton menyerbu masuk ke dalam padang.

Negeri Sembilan menang 1-0 pada separuh akhir pertama.

Tindakan liar para penyokong Sabah itu dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, Rosdi Shaharul dari Perak yang membatalkan gol sepakan Robert Gasper.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, rakaman video perlawanan menunjukkan Rosdi telah mengarahkan sepakan percuma bukan terus tetapi Gasper telah melakukan sebaliknya, menyepak terus ke gawang.

``Pengadil telah mengangkat tangannya sebanyak tiga kali mengarahkan sepakan percuma bukan terus tetapi Sabah sebaliknya melakukan sepakan terus yang menyebabkan jaringan itu tidak disahkan,'' kata Redzuan kepada pemberita selepas mesyuarat di Wisma FAM, Petaling Jaya, semalam.

``Kami memutuskan bahawa tindakan pengadil itu adalah betul dan beliau juga telah mengambil tindakan tepat menghentikan perlawanan apabila penonton menyerbu ke dalam padang.

``Dengan itu, Sabah telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi perbuatan ini dan Negeri Sembilan diberikan kemenangan 3-0 dalam perlawanan itu,'' jelas beliau.

Jawatankuasa itu juga mendengar keterangan daripada dua pegawai pasukan Sabah iaitu setiausaha kehormat persatuan, Yusoff Said dan setiausaha eksekutif, Harry Baking.

Mereka telah merayu kepada jawatankuasa itu agar diadakan perlawanan ulangan kerana laporan pengadil menjelaskan bahawa perlawanan itu `ditangguhkan' dan bukan dihentikan.

Redzuan menjelaskan bahawa pihaknya telah menggunakan peraturan 8.3 Undang-undang Pertandingan FAM yang menyatakan ia mempunyai hak memberikan kemenangan kepada pihak yang teraniaya, mengenakan denda atau menggantung pasukan yang tidak mengikut arahan.

Jawatankuasa Pertandingan juga kesal kerana masih ramai pemain yang tidak memahami peraturan perlawanan.

``Yang menyedihkan ialah majoriti pemain masih belum faham tentang undang-undang perlawanan,'' kata Redzuan.

Mengenai perlawanan antara Sabah dengan Telekom Melaka yang ditangguhkan daripada jadual asalnya kelmarin, Redzuan berkata Stadium Likas boleh terus digunakan berikutan laporan positif yang diberikan oleh Jawatankuasa Tatatertib selepas lawatan ke stadium itu kelmarin.

Perlawanan Sabah-Telekom sekarang akan berlangsung pada 24 Jun.

Sabah juga berdepan dengan kemungkinan dikenakan tindakan lebih keras oleh FAM apabila Jawatankuasa Tatatertib bermesyuarat mengenai insiden di Stadium Likas itu esok.

Ini kerana rakaman video jelas menunjukkan bukan sahaja para penyokong mereka telah bertindak liar, tetapi juga pegawai-pegawai pasukan skuad Badak itu

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cwrtHlKe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan