
PENYERANG Johor, Sutesh Nair (kiri)
cuba melepasi kekangan pertahanan Perak, K. Nanthakumar (tengah) dan Chan Wing
Hong pada perlawanan kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru,
semalam. Perak menang 3-2. - Gambar RAJA JAAFAR ALI
NEGERI SEMBILAN cerah ke suku
akhir bola sepak Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan ketiga
berturut-turut pada persaingan kumpulan D di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, semalam.
Kedah menjadi mangsa terbaru
pasukan tuan rumah yang meraikan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 4-0 semalam.
Gol-gol Negeri Sembilan
dijaringkan oleh Wong Sai Kong pada minit ke-36, diikuti Azman Adnan (39), Azmi
Mohamad (81) dan Leong Hong Seng (87).
Babak pertama menyaksikan tuan
rumah memperoleh gol pertama apabila bola rembatan Wong Sai Kong dari jarak 35
meter pada minit ke-36 menerjah gawang lawan dan gagal diselamatkan oleh
penjaga gol Kedah, Azuan Othman.
Negeri Sembilan yang terus
melancarkan serangan bertubi-tubi akhirnya menambah gol kedua pada minit ke-39
menerusi penyerang berbisa, Azman Adnan yang menyempurnakan hantaran lintang
oleh K. Rajan.
Kedah turut mendapat peluang
minit ke-44, tetapi sepakan yang dilakukan oleh penyerangnya, Adrien Jurat
Chamrong jauh tersasar dari pintu gol tuan rumah.
Negeri Sembilan meneruskan
asakan di babak kedua dan memperoleh gol ketiga menerusi Azmi Mohamad pada
minit ke-81. Azmi yang tidak dikawal kemas bijak meloloskan diri ke kawasan
lawan sebelum melepas kaki kiri.
Enam minit kemudian, Leong Hong
Seng menambah keperitan pasukan pelawat apabila menyempurnakan sepakan percuma
selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan Kedah.
Pengadil, Danny Ong Kim Heng
tidak teragak-agak memberikan sepakan percuma itu yang disempurnakan oleh Leong
dari jarak 25 meter.
Sementara itu, di Stadium
Larkin, Perak berjaya menewaskan tuan rumah, Johor 3-2 dalam perlawanan yang
menyaksikan pasukan pelawat bermain dengan penuh semangat.
Pengadil Manjit Singh memberi
kad merah kepada Roslan Hamid pada minit ke-65 setelah mengasari pemain Perak,
Ahmad Shahrul Azahar dengan cara yang kasar.
Perak mengejutkan pasukan tuan
rumah pada awal pada minit ke-5 melalui ketua pasukan Ahmad Shahrul Azhar yang
membuat sepakan leret ke arah pintu gol lawan lalu menewaskan Othman Katmon.
Jengking tersentak dengan gol
itu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi Rizal Sukiman
berjaya membuat tendangan mengelirukan di luar kotak penalti untuk menewaskan
penjaga gol Perak, Zamri Mat Arif.
Ahmad Shahrul Azhar sekali lagi
membuatkan penyokong Perak ceria apabila menyumbat gol pada minit ke-47 setelah
menerima hantaran cantik daripada V. Saravanan.
Rezal Zamberi Yahaya menyamakan
kedudukan buat Johor pada minit ke-50, sebelum V. Saravanan menjaringkan gol
kemenangan Perak di minit ke-54.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ayhrpr8e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan