Jumaat, 17 Mac 2017

Kejayaan pertama Negeri Sembilan



ARKIB : 04/04/2001
NEGERI Sembilan bangkit semula dalam persaingan Liga Perdana Satu apabila menewaskan Johor 2-0 dalam perlawanan kedua liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban malam semalam.

Pasukan tuan rumah mendapat jaringan pertama pada minit terakhir separuh masa pertama melalui Zami Mohd. Noor yang menanduk masuk hantaran silang M. Elango.

Kedua-dua pasukan yang saling mengatur serangan pada awal permainan namun keadaan padang yang basah menyebabkan cubaan- cubaan yang dilancarkan tidak menjadi.

Pasukan tuan rumah yang kecundang 2-6 kepada Pahang dalam perlawanan pertama pada Sabtu lepas menguasai babak separuh pertama dengan melancarkan serangan-serangan melalui Azman Adnan, Mohd. Shukor Adan, Zami Mohd. Noor dan Nor Isham Ismail namun serangan-serangan itu berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Johor.

Skuad Rusa mendapat peluang pertama pada minit ke-24 tetapi cubaan Nor Isham Ismail tersasar keluar.

Johor yang mendapat peluang terbaik untuk membuat jaringan pada minit ke-3 melalui Mohd. Supian Ibrahim apabila gawang skuad Rusa tanpa penjaga gol tuan rumah, Mohd. Hamsani Ahmad telah terbabas ke depan tetapi sepakan Mohd. Supian terkeluar.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad Rusa meneruskan penguasaan dengan melancarkan serangan-serangan berbahaya tetapi keadaan padang yang basah masih menjadi penghalang utama kepada pasukan tuan rumah untuk menjaringkan gol.

Skuad Rusa mendapat kesempatan untuk menambahkan jaringan pada minit ke 56 melalui Nor Isham tetapi tandukannya berjaya ditampan oleh penjaga gol Johor, Mohd. Yusof Ishak.

Azman mencerahkan harapan skuad Rusa untuk menambahkan jaringan pada minit ke-59 tetapi tendangannya di luar petak penalti tersasar ke sebelah kanan.

Nor Isham menambah derita Johor apabila menjaringkan gol kedua skuad Rusa pada minit ke-69 melalui gerakan solo dengan menewaskan tiga pemain pertahanan pasukan pelawat sebelum merembat kemas ke gawang Johor untuk menewaskan penjaga gol Johor, Mohd. Yusof.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bZn3h6v1© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan