ARKIB : 18/05/2003
NEGERI SEMBILAN dan Perlis
mencipta sejarah apabila buat kali pertama layak ke perlawanan akhir Piala FA
selepas kedua-dua pasukan menang menerusi agregat pada separuh akhir kedua yang
berlangsung dalam suasana tegang, semalam.
Negeri Sembilan menang agregat
2-0 selepas menang 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu manakala Sarawak menang
2-1 tetapi tewas menerusi agregat 5-3 di Stadium Negeri, Kuching.
Secara kebetulan, keputusan
pengadil perlawanan menjadi punca kepada tercetusnya ketegangan dalam kedua-dua
perlawanan itu apabila membatalkan jaringan menerusi sepakan percuma.
Pengadil membuat keputusan itu
atas alasan wisel masih belum dibunyikan untuk membolehkan sepakan percuma
tersebut diambil.
Sarawak yang tewas 4-1 di separuh
akhir pertama bagaimanapun mempamerkan semangat tidak mudah kalah apabila
membuka jaringan menerusi Wong Sai Kong hanya selepas 56 saat permainan
dimulakan.
Pasukan bimbingan Jalil Rambli
itu kemudiannya hanya memerlukan masa empat minit selepas itu untuk mendahului
2-0 menerusi tandukan Sapian Wahid yang menyambut lontaran ke dalam Irwandy
Jampaka.
Sarawak bagaimanapun terlepas
tiga peluang keemasan untuk mengurangkan agregat jaringan tetapi percubaan
Ramles Sari dan Sapian Wahid pada minit ke-28, 29 dan 32 sama ada tersasar atau
terkena tiang.
Semangat juang mereka akhirnya
luntur apabila penyerang import Perlis, Phillemon Chipieta mengotakan janjinya
untuk menjaringkan gol pada minit ke-77.
Bermula dari situ, permainan
tambah tegang dan sebaik pengadil membatalkan jaringan Chin Hong Aik pada minit
ke-80, ia memburukkan lagi keadaan.
Sementara itu, senario yang sama
berlaku di Kota Kinabalu antara Sabah dan Negeri Sembilan apabila turut
dicemari pergaduhan dan rusuhan penonton.
Permainan terpaksa dihentikan
apabila kira-kira 200 penonton merusuh dan memasuki padang ketika perlawanan
hanya berbaki tujuh minit dengan pasukan pelawat ketika itu mendahului 1-0.
Insiden yang memalukan itu turut
disaksikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah yang hadir ke
perlawanan itu.
Sebilangan penonton di tempat
duduk utama merusuh masuk ke padang selepas tidak berpuas hati tindakan
pengadil dari Perak, Rosdi Shaharul membatalkan gol hasil sepakan percuma
Robert Mark Gasper pada minit ke-83.
Tindakan penonton memecahkan dua
pintu pagar untuk memasuki padang itu membuatkan pemain pelawat dan pengadil
bergegas keluar padang selepas dikejar penonton.
Sebelum itu, pemain dan pegawai
Sabah yang mengerumuni pengadil turut bertindak menghalang penonton memasuki
padang namun gagal.
Negeri Sembilan mendahului Sabah
1-0 pada minit ke-74 hasil jaringan oleh Luciano Osmar Gonzales selepas
mendapat umpanan Azman Adnan yang masuk menggantikan Efendi Malik tiga minit
sebelum jaringan itu.
Sebelum itu, suasana perlawanan
sudah mula panas apabila Sabah beraksi dengan 10 orang selepas Asmawi Bakiri
dilayangkan kad merah pada minit ke-66 apabila mengkasari Gonzales.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cv8TW1Al
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan