ARKIB : 15/10/2001
Oleh: HATA WAHARI
NEGERI SEMBILAN akan menyambut
Perak dengan rasa hormat apabila pasukan itu bertandang di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Seremban dalam perlawanan pusingan pertama suku akhir bola sepak Piala
Malaysia esok.
Namun naib juara Piala Malaysia
itu tidak melihat kebangkitan skuad Seladang yang merupakan juara Piala
Malaysia tahun lepas di bawah jurulatih M. Karathu sebagai satu ancaman
sehingga perlu menyerah kalah walaupun perjuangan belum bermula.
Jurulatih skuad Rusa, Mohd.
Zaki Sheikh Ahmad berkata, skuad Rusa tetap akan bermain dengan cara yang telah
dipersembahkan dan tidak akan sekali-kali terikut-ikut dengan perang psikologi
pasukan-pasukan lain dalam usaha untuk mengelirukan lawan.
Kata beliau, apa yang penting
ialah membina kekuatan sendiri untuk berhadapan dengan lawan dan perkiraan itu
tidak bersandarkan kepada keputusan lepas atau keadaan lawan yang terumbang
ambing pada awal musim.
``Yang penting sekarang ialah
prestasi sekarang, prestasi yang dipersembahkan pada perlawanan peringkat
kumpulan yang membawa ke peringkat suku akhir, itu yang paling penting,''
katanya ketika ditemui di Seremban.
Tegasnya, pasukan yang layak ke
perlawanan akhir merupakan pasukan yang baik serta berwibawa sekali gus memerlukan
lawan masing-masing memberikan penumpuan sepenuhnya bagi memastikan kejayaan
dalam pusingan pertama ini nanti.
Beliau memberitahu, mana-mana
pasukan yang membuat kurang kesilapan pasti akan mendapat habuan lumayan tetapi
semuanya terserah kepada pemain sama ada untuk menamatkan perjuangan dalam
peringkat suku akhir ini atau berjuang bermati-matian untuk memburu
kecemerlangan.
Membicarakan prestasi pemain
skuad Rusa, Zaki berkata, beliau tidak pasti barisan pemain yang akan
diturunkan dalam pusingan pertama, semuanya bersandarkan kepada keadaan pemain.
``Skuad Rusa tidak pernah dapat
menurunkan pemain yang telah dipilih lebih awal kerana sering dihantui masalah
seperti pemain tiba-tiba diserang penyakit atau tanpa diduga mengalami
kecederaan.
``Agak sukar untuk membuat
keputusan tetapi ia akan di selesaikan sebaik mungkin bagi memastikan
pemain-pemain yang diturunkan mampu untuk membawa kejayaan,'' katanya.
Namun kata beliau, skuad Rusa
boleh menyandarkan harapan kepada Effendi Malek, Zami Mohd. Noor, Azman Adnan
di bahagian serangan, Mohd. Shukor Adan, Nazzab Hidzan (bahagian tengah) dan
Khairul Anuar Baharom, Leong Hong Seng di bahagian pertahanan yang telah
menunjukkan komitmen tinggi.
Bermain di tempat sendiri
sedikit sebanyak memberi peluang kepada skuad Rusa untuk membuat perancangan
awal iaitu menjaring gol sebanyak mungkin dengan bantuan dan sokongan
penyokong-penyokong.
``Sekiranya skuad Rusa mampu
untuk mendapat kemenangan besar tugas lebih mudah menanti apabila pertemuan
pada pu-singan pertama.
``Memandangkan perlawanan
pusingan pertama di tempat sendiri tidak ada sebab untuk pemain-pemain bermain
secara lewa, membuat kesilapan atau hilang tumpuan ketika per-mainan,''
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4blfS0ZcJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan