ARKIB : 23/09/2000
KEUPAYAAN Kelantan memenangi tiga perlawanan di tempat lawan dalam pusingan
awal Piala Malaysia kumpulan B menjadi peringatan kepada Negeri Sembilan
apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir pertama bola sepak Piala
Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban hari ini.
Jurulatih Skuad Rusa, Mohd. Zaki Ahmad berkata, keupayaan Kelantan
mengalahkan Pulau Pinang, Perlis dan Kuala Lumpur memberi gambaran bahawa
pasukan itu seolah-olah mempunyai kelebihan di tempat lawan.
Bagaimanapun katanya, kemenangan skuad Kijang itu juga akan menjadi
sandaran kepada beliau untuk merangka strategi bagi mengegkang pasukan dari
Pantai Timur itu dari mencipta kemenangan.
''Skuad Rusa mengaku skuad Kijang lebih merbahaya dari pasukan lain semasa
bermain di tempat lawan dan sekali gus akan berhati-hati memandangkan
kedua-duanya belum pernah bertemu sebelum ini,'' katanya ketika ditemui di Seremban
semalam.
Apa yang penting menurut jurulatih skuad Rusa itu, pemain-pemain akan
memfokuskan kepada pemainan dalam pertemuan itu nanti.
Katanya, enam perlawanan peringkat awal Piala Malaysia, para pemain telah
mencapai pemfokusan kepada pemainan 100 peratus sehinggakan pasukan ini mampu
mencapai kemenangan besar di tempat lawan seperti mengalahkan Johor 6-1.
''Skuad Rusa juga mempunyai kelebihan, ini memandangkan kita mempunyai
pemain senior yang telah memperlihatkan kematangan dan pasukan menaruh harapan
kepada mereka,'' katanya.
Antara pemain senior ialah bekas penyerang kebangsaan Azman Adnan yang
memberikan prestasi yang baik sehingga kini malahan pasukan juga akan menaruh
harapan kepada Khairul Anuar Baharom untuk menggunakan pengalamannya dalam
pertemuan itu nanti.
Mohd. Zaki memberitahu, kemenangan selesa di tempat sendiri akan memberi
kelebihan kepada skuad Rusa memandangkan Skuad Kijang mempunyai masalah
berhadapan dengan penonton-penonton sendiri.
Jelasnya, skuad Kijang terpaksa berhempas pulas di tempat sendiri di
hadapan 20,000 penonton sendiri yang memberi tekanan setiap masa.
Beliau memberi jaminan sekiranya, skuad Rusa mampu mengekalkan rentak sedia
ada kemenangan pasti hak pasukan itu.
Skuad Rusa akan menyandarkan kemenangan kepada Chow Chee Weng sebagai
pemain tengah di samping pemain-pemain yang telah membuktikan keupayaan
masing-masing iaitu Mohd. Shukor Adan, Sharizam Mohamad dan Khairun Haled
Masron.
Turut bertindak sebagai pemusnah ialah pemain pertahanan seperti Khairul,
Leong Hong Seng dan Mohd. Nor Sheikh Ibrahim.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b1LGL1Hr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan