Selasa, 21 Mac 2017

Rentak NS semakin longlai



ARKIB : 25/03/2002
Oleh: HATA WAHARI
``KENA mandi air longkang'' itulah kata-kata yang terpacul keluar dari mulut jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad ketika diminta mengulas mengenai prestasi anak-anak buahnya yang tidak menyengat musim ini malahan mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Mohd. Zaki berkata, beliau tidak tahu mengapa prestasi pemain-pemaian skuad Rusa merosot sekali berdasarkan sepuluh perlawanan yang dilalui dimana skuad Rusa hanya memenangi satu perlawanan ketika menentang Johor FC dengan jaringan 1-0 dan seri dengan Pahang dengan jaringan 4-4.

Beliau yang agak berang dengan prestasi longlai anak-anak buahnya berkata, dalam perlawanan dengan Melaka malam semalam, Negeri Sembilan menguasai permainan dengan sekurang-kurangnya 10 percubaan dimana dua daripadanya cubaan pemain Rusa hanya berhadapan dengan penjaga gol sahaja.

``Malangnya semua sepakan sama ada melantun tinggi atau tersasar keluar walaupun tida ada tentangan dari pemain lawan,'' katanya ketika ditemui di Seremban, semalam.

Mohd. Zaki berkata, kelemahan skuad Rusa ialah pada jentera serangan iaitu Effendi Malek dan Azrine Effendi gagal untuk berfungsi dengan baik malahan gagal untuk memanfaatkan peluang yang terbuka luas.

Walaupun alasan yang diberikan oleh Mohd. Zaki beliau harus melakukan sesuatu bagi mengelakkan pasukan yang pernah menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2000 turun ke Liga Perdana Dua pada tahun depan.

Skuad Rusa hanya mempunyai satu perlawanan sahaja lagi iaitu bertemu Kuala Lumpur pada Selasa ini untuk menentukan sama ia mampu untuk meningkatkan peluang agar tidak terkeluar dari Liga Perdana Satu.

Sepuluh perlawanan dengan lima mata merupakan satu pencapaian yang mengaibkan kepada skuad Rusa, sehubungan itu Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan harus mengambil langkah drastik sekiranya tidak mahu tercicir di Liga Perdana Dua tahun depan.

PBNS harus berani menjilat ludah sendiri yang sebelum ini berkeras tidak akan mengambil pemain-pemain import.

Berdasarkan kepada prestasi sekarang, pemain import mungkin jawapan terbaik bagi menajamkan semula jentera serangan yang tidak bermaya.

Sekiranya PBNS masih juga tetap dengan pendiriannya kemungkinan bukan sahaja akan tercicir ke Liga Perdana Dua tetapi juga akan kehilangan sokongan peminat setia kerana setia hari jumlah penonton semakin berkurangan.

Sekiranya pada awal musim, penonton yang menyaksikan perlawanan antara 2,000 hingga 4,000 orang tetapi berdasarkan kepada perlawanan dengan Melaka malam semalam, hanya 500 penonton datang ke stadium yang mampu untuk memuatkan 20,000 penonton.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4byN8sytp© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan