
ARKIB : 23/09/2001
PEMAIN Kuala Lumpur, Ya'kob
Aris (kiri) berusaha melepasi pemain pertahanan Selangor, Nizam Jamil pada
perlawanan kumpulan A bola sepak Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras
semalam. Selangor menang 2 - 0. - Gambar KASWADI YUSOFF.
NAIB juara tahun lepas, Negeri
Sembilan terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan A apabila
mencatatkan kemenangan besar 4-1 ke atas juara Perdana Dua, Johor FC dalam
perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Perbadanan Pasir Gudang, Johor
Bahru.
Babak pertama nyata milik penuh
Negeri Sembilan yang mendahului 3-0 menerusi jaringan Mohamad Shukor Adan (6
dan 44) serta Zami Mohd Noor (19). Johor FC membalas menerusi Mustaza Maah
Mustafa (85) tetapi Efendi Abdul Malek menambah gol keempat pelawat pada minit
ke-88 sekali gus memastikan Negeri Sembilan mengutip kemenangan kedua.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Nizaruddin Yusof pula menjaringkan dua gol untuk memastikan Selangor mengutip
mata penuh di Stadium KLFA, Cheras dengan kemenangan 2-0 dalam kumpulan yang
sama.
Jaringan pertama Nizaruddin
diperoleh pada minit ke-25 selepas dia menggelecek dua pertahanan tuan rumah
sebelum merembat dari jarak dekat.
Pada minit ke-45, Nizaruddin
sekali lagi menemui sasaran setelah menguis bola hasil hantaran lintang ketua
pasukan, Yusri Che Lah.
Sementara itu, Pahang melonjak
ke tangga teratas kumpulan B meskipun mencatat keputusan seri tanpa jaringan
dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu.
Kelab NS Chempaka pula
mengekori Pahang dengan membelasah naib juara 1999, Sarawak dengan 4-0 di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan V. Thinagaran menjaringkan dua gol
pada minit ke-44 dan 45.
Dua lagi gol diperoleh menerusi
percubaan R. Manivarman (42) dan K. Nanthakumar (84).
Juara Perdana Satu, Pulau
Pinang terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan D dengan
kemenangan tipis 2-1 ke atas Perlis di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai.
Tuan rumah menguasai babak
pertama untuk mendahului 2-0 menerusi jaringan Ng Kok Heng (23) dan R. Suresh
Kumar (40) sebelum Perlis membalas menerusi Hairil Zamri Rashid (50).
Dalam kumpulan C, pasukan
pilihan Terengganu terus bersaing sengit dengan TNB Kelantan di tangga teratas
apabila menundukkan juara tahun lepas, Perak 2-1 di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Hairuddin Omar memastikan tuan
rumah memperoleh mata penuh setelah menjaringkan gol pada minit ke-88 setelah
kedudukan terikat 1-1. Terengganu mendahului menerusi gol Faziallah Mamat (32)
tetapi Perak menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Rafdi Rashid tujuh minit
kemudian.
Dalam satu lagi perlawanan
kumpulan D, Suharmin Yusof menerajui kebangkitan Sabah pada babak kedua dengan
menjaringkan dua gol ketika menewaskan JKR Kedah 2-1 di Stadium Penampang, Kota
Kinabalu.
Sebelum itu, JKR Kedah
mendahului menerusi sepakan penalti Khamal Idris Ali (29).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bkeihecN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan