ARKIB : 17/02/2001
KETIADAAN empat tonggak utama,
Leong Hong Seng, Chow Chee Weng, Zamani Misbah dan Mohd Shukor Adan, bukan
alasan untuk skuad Rusa tidak menyerlah pada saingan pertandingan Piala FA
bermula 13 Mac ini.
Jurulatih Mohd Zaki Sheikh Ahmad
berkata, ini kerana beliau mempunyai pilihan untuk mengisi posisi yang
dikosongkan oleh keempat-empat pemain terbabit.
Khidmat keempat pemain berkenaan
mungkin tidak dapat digunakan untuk sekurang-kurangnya sehingga pusingan ketiga
apabila jadual perlawanan kelayakan Piala Dunia hanya akan berakhir pada 27
Mac.
Kecuali Zamani, tiga pemain lain
adalah kesebelasan utama Negeri Sembilan musim lepas yang menyaksikan pasukan
itu layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas 52 tahun.
Mohd Zaki berkata, berdasarkan
beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini beliau telah dapat menyusun dan
merangka kekuatan skuad Rusa.
Katanya pada keseluruhannya
pemain telah berada pada prestasi memuaskan untuk mengharungi cabaran Piala FA.
``Apa yang melegakan saya ialah
ramai pemain setakat ini telah mula pulih daripada kecederaan dan tahap
kecergasan mereka adalah antara 60 hingga 70 peratus,'' katanya.
Negeri Sembilan yang mensasarkan
untuk merangkul satu kejuaraan musim ini akan menentang TNB Kelantan di
Seremban pada pusingan pertama sebelum bermain di tempat lawan pada pusingan
kedua.
Sementara itu, beliau berkata
tiga lagi perlawanan persahabatan yang diatur akan dijadikan asas pemilihan
kesebelasan utama skuad Rusa.
Ketiga-tiga perlawanan
persahabatan di tempat lawan itu ialah menentang Kedah pada 27 Februari, Perlis
(1 Mac) dan JKR Kedah (3 Mac). - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bP3muvSw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan