
ARKIB : 24/09/2001
PEMAIN Pulau Pinang, Hasmawi
Hassan (kiri) melompat untuk mengawal bola ketika diasak pemain Perlis dalam
aksi bola sepak Piala Malaysia di Stadium Batu Kawan, kelmarin. Pulau Pinang
menang 2 - 1.
Oleh Johari shawal
FANTASI mengatasi reputasi,
begitulah yang boleh ditafsirkan terhadap pasukan negeri yang berdepan nasib
kurang selesa dalam aksi kedua bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.
Nampaknya pasukan negeri harus
akur dengan kegagahan skuad berstatus kelab yang semakin mencuri tumpuan dalam
kempen edisi ke-35 ini.
Bukan masanya lagi untuk mereka
berfantasi dengan reputasi gah selaku pasukan bertaraf lebih tinggi.
Selepas TNB Kelantan mencipta
kejutan menewaskan juara bertahan, Perak Selasa lepas, giliran NS Chempaka
mengaibkan satu lagi pasukan negeri, kali ini Sarawak menjadi mangsa, kelmarin.
Malah, Sarawak menerima aib
paling besar tewas besar 4-0 kepada NS Chempaka, sesuatu yang boleh dianggap
rekod pasukan kelab.
NS Chempaka membuat kemunculan
pertamanya dalam pertandingan paling berprestij ini seperti mana tiga lagi
kelab, JKR Kelantan, TNB Kelantan dan JKR Kedah. Johor FC beraksi kali kedua
selepas agak cemerlang musim lalu.
Kejayaan NS Chempaka, yang
pernah mengaibkan pasukan senior kebangsaan bimbingan Allan Harris dengan
kemenangan 2-1 dalam aksi persahabatan, awal tahun ini, begitu bermakna selepas
dikecewakan Pahang 2-1 dalam perlawanan pertama.
Begitupun, Negeri Sembilan
menyekat kebangkitan satu lagi pasukan kelab, Johor FC malah mengecewakan
pasukan selatan itu 4-1 dalam aksi kumpulan A.
Negeri Sembilan meraih
kemenangan kedua berturut-turut untuk mendahului kumpulan dengan enam mata.
Johor FC sebelum ini bermula
cemerlang apabila hampir mengejutkan Selangor sebelum seri 2-2 Selasa lepas.
Selangor kembali bangkit meraih
kemenangan pertama menewaskan Kuala Lumpur untuk mengutip empat mata di tempat
kedua.
Dan Pahang, Pulau Pinang dan
Terengganu yang menggungguli kumpulan masing-masing harus menarik nafas lega
tetapi apa sahaja boleh berlaku kerana pasukan kelab tetap menjadi penghalang
utama.
Apa pun, masih terlalu awal
untuk memperkatakan tentang kebangkitan pasukan kelab, lagi pun pasukan negeri
mungkin `belum panas'.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bkfrC4fk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan