Jumaat, 24 Mac 2017

Negeri Sembilan layak ke suku akhir

ARKIB : 09/09/2002
JUARA Piala Presiden, Negeri Sembilan bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan dua gol dalam masa selang seminit untuk menumpaskan Perlis 2-1 - terima kasih kepada Mohd. Fairuz Ezwan Mohd. Zani dan Sathian Krishna Moorthy Ñ sekali gus melayakkan diri ke suku akhir pertandingan bola sepak Sukma IX Sabah, di Kota Kinabalu, semalam.

Kejayaan skuad pelapis pasukan Rusa itu diiringi oleh tiga lagi pasukan Ñ Kuala Lumpur, MSSM dan Pahang yang terpaksa mengharungi aksi playoff dengan Melaka.

Negeri Sembilan yang sebelum ini diragui kemampuannya selepas tunduk 1-0 kepada Perak pada perlawanan pertamanya, nyaris dikecewakan oleh barisan Perlis apabila ketinggalan pada minit ke-44 oleh jaringan Che Hussin Man.

Perlis, yang sudah tersingkir daripada persaingan, jelas berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan penyelamat maruah tetapi terpaksa akur dengan kehebatan Negeri Sembilan apabila menyaksikan pemain lawan menjaringkan dua gol dalam tempoh seminit.

Gol penyamaan Negeri Sembilan disumbat masuk oleh Sathian pada minit ke-42 dan seminit kemudian Fairuz Ezwan pula muncul dengan gol kemenangan.

Kejayaan itu meletakkan Negeri Sembilan di tangga kedua Kumpulan C dengan enam mata, tiga mata di belakang Perak.

Sementara itu, Kuala Lumpur menundukkan MSSM 1-0 di Stadium Penampang untuk muncul juara Kumpulan D sekali gus mengatur pertemuan dengan Negeri Sembilan pada suku akhir yang akan bermula hari ini.

Mohd. Ivan Mohd. Yusof menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-65 sekali gus memaksa MSSM untuk berdepan dengan Perak.

Pada perlawanan lain, Selangor menamatkan saingannya dalam Kumpulan D dengan bergaya apabila membelasah Sarawak 5-1 di Stadium UMS tetapi kebangkitan itu sudah terlewat untuk menyelamatkan mereka daripada tersingkir.

Sarawak mendahului seawal minit ke-10 menerusi Irwanshah Mohamad hanya untuk menyaksikan Selangor bangkit dengan garang.

Mohd. Reza Mokhtar menyamakan kedudukan pada minit ke-36 yang menjadi pencetus semangat untuk Selangor menambah empat lagi gol pada babak kedua.

Asakan bertali arus Selangor menyaksikan Azhari Hamzah menambah gol kedua pada minit ke-39 diikuti oleh jaringan Zulkifli Sulaiman (m54).

Kehilangan Irwandy Jampaka setelah dilayangkan kad merah pada minit ke-55 menambah sengsara Sarawak apabila Mohammad Noraidif Miswan menolak masuk gol keempat Selangor pada minit ke-76 sebelum Reza menjaringkan gol keduanya pada minit ke-87.

``Saya cukup puas hati dengan kemenangan hari ini (semalam) walaupun kita gagal layak ke suku akhir,'' kata jurulatih Selangor, Omar Ali selepas perlawanan.

``Walaupun kebangkitan ini sudah terlewat, tetapi yang penting ialah para pemain menunjukkan mutu permainan sebenar mereka. Sekarang, kita akan membuat post mortem untuk persediaan mengharungi peringkat suku akhir Piala Presiden pula,'' katanya.

Kemenangan itu meletakkan Selangor di tangga ketiga Kumpulan D, enam mata di belakang Perak yang menamatkan persaingan peringkat kumpulan dengan mengekalkan rekod bersih apabila bangkit untuk menundukkan Brunei 3-1 untuk mengutip mata penuh.

Shahrul Nizam Mustapa mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol pada minit ke-74 dan 81 manakala Mohd. Nasir Zackaria menghasilkan gol pada minit ke-76.

Terdahulu, Brunei mendahului melalui jaringan Rosmin Mohd. Kamis pada minit ke-60.

Penyandang juara, Pahang pula menyingkirkan Melaka 3-1 pada perlawanan playoff Kumpulan A untuk menempah pertemuan dengan juara Kumpulan B, Pulau Pinang pada suku akhir hari ini.

Pahang dan Melaka terpaksa mengharungi playoff setelah kedua-dua pasukan terikat dari segi mata dan juga jumlah perbezaan gol.

Satu lagi perlawanan suku akhir hari ini ialah di antara juara Kumpulan A, Kedah dengan Johor yang muncul naib juara Kumpulan B.




Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cJFauejp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan