Ahad, 19 Mac 2017

NS tidak takut dengan lawan pada suku akhir

ARKIB : 04/10/2001
NEGERI Sembilan tidak gentar untuk bertemu dengan mana-mana pasukan dalam pertemuan suku akhir Piala Malaysia sekali gus mengenepikan anggapan bahawa kemenangan ke atas Selangor dalam perlawanan pusingan kedua peringkat kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Seremban kelmarin adalah untuk mengelak bertemu dengan Terengganu.

Jurulatih Skuad Rusa, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad melihat kejayaan menumpaskan Selangor 4-3 merupakan misi untuk membalas dendam aib ketika tewas 4-1 dalam pusingan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Tambahnya, beliau tidak melihat percaturan untuk mengelakkan pertemuan dengan pasukan-pasukan yang dikatakan pasukan pilihan pada musim ini merupakan percaturan yang baik dalam usaha untuk merebut Piala Malaysia.

Tegasnya Mohd. Zaki, apa yang dilakukan oleh beliau dan anak buahnya ialah untuk memenangi dan menghadapi setiap pasukan yang perlu ditentang walaupun skuad Rusa dikatakan pasukan belasahan sekiranya berjumpa dengan Terengganu pada suku akhir.

``Semua pasukan adalah sama, cuma yang membezakan antara satu sama lain ialah semangat, kekentalan dan keupayaan taktikal sesebuah pasukan yang akan menentukan sama ada sesebuah pasukan itu mampu untuk pergi jauh,'' katanya dalam pertemuan di Seremban semalam.

Beliau memberitahu, matlamat skuad Rusa ialah untuk menjadi juara kumpulan A kerana ia berkait rapat dengan status dan keupayaan para pemain untuk mencapai kemenangan.

Mohd. Zaki menjelaskan, sekiranya anak-anak buahnya hanya mampu untuk meletakkan pasukan di tempat kedua kumpulan A, ia menunjukkan mereka kekurangan sesuatu dan sekali gus akan mencetuskan suasana yang tidak baik di kalangan penyokong-penyokong setia Negeri Sembilan.

Katanya, beliau ingin membuktikan bahawa skuad Rusa merupakan pasukan yang gagah perkasa dan mampu mengharungi setiap perlawanan dengan baik serta mempunyai semangat berkobar-kobar untuk menang.

Memperkatakan pertemuan dengan Selangor kelmarin, Mohd. Zaki berkata, beliau boleh menarik nafas melihat prestasi anak-anak buahnya yang kini tidak mudah patah semangat walaupun pasukan lawan mendahului dengan jaringan yang besar.

Berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan dalam perlawanan dengan Selangor kelmarin walaupun ketinggalan 1-3 namun dengan semangat juang yang tinggi dan sering melakukan serangan-serangan untuk mencari gol penyamaan ia membuahkan hasil.

Mohd. Zaki memberitahu, anak-anak buahnya menguasai keseluruhan permainan dan berjaya mencipta ruang untuk menjaringkan gol tetapi tidak ada penyudahan yang baik menyebabkan peluang tersebut membazir begitu sahaja.

Jelas beliau, dengan menggantikan Zami Mohd. Noor dengan Azman pada minit ke-60 permainan dengan arahan hanya untuk menjaringkan gol melalui ruang-ruang yang dicipta oleh pemain lain membuahkan hasil apabila Azman menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir perlawanan.

``Kemenangan itu merupakan usaha terbaik pemain kerana tidak putus semangat dalam usaha mencari peluang dan gol-gol penyamaan walaupun bermain dengan 10 orang setelah Leong Hong Seng di layang kad merah,'' katanya.

Tegasnya, ini merupakan pengalaman yang baik kepada pemain dan berharap sikap dan semangat ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Negeri Sembilan dijangka tidak berhadapan dengan tugas sukar untuk mengekalkan tangga teratas Kumpulan A kerana akan bertemu dengan Kuala Lumpur dan Johor FC.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bl8yF5us © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan