ARKIB : 21/06/2003
Oleh Haradian Shah Hamdan
Pengurus pasukan Datuk Jamaluddin
Ahmad, berkata, tindakan tersebut terpaksa dilakukan kerana ada pemain-pemain
utama yang tidak menunjukkan persembahan meyakinkan dalam beberapa perlawanan
lalu.
``Saya dapati wujud mentaliti
`santai' di kalangan pemain yang menyebabkan mereka tidak bermain dengan
bersungguh-sungguh sekali gus menjejaskan corak persembahan Negeri Sembilan,''
katanya.
Justeru, beliau sudah memberi
`lampu hijau' kepada jurulatih K. Devan bagi menyenaraikan pemain-pemain
tersebut dan menggantikannya dengan pemain lain yang dianggap lebih bersedia.
``Saya sudah berbincang dengan
Devan dan meminta dia menukarkan mereka yang agak lesu ini dengan pemain yang
lebih baik dan bersemangat tinggi, termasuk pemain muda,'' katanya yang
bagaimanapun tidak mendedahkan pemain yang akan direhatkan kelak.
Beliau berharap tindakan itu
dapat mengembalikan semula `selera' pemain-pemain terbabit dan mendorong mereka
untuk merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama.
Selepas memenangi Piala FA dengan
menewaskan Perlis 2-1 baru-baru ini, Negeri Sembilan mengalami kemarau
kemenangan apabila sekadar seri dalam tiga perlawanan lalu.
Berikutan persembahan kurang
memberangsangkan itu, pasukan tersebut kini berada di tangga ketiga Perdana Dua
dengan 29 mata iaitu ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Public Bank.
Mereka juga berdepan lawan sukar
apabila terpaksa bertemu pasukan kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ)
Selangor di tempat lawan, esok.
Jamaluddin menganggap perlawanan
menentang MPPJ yang turut terdesak untuk memperbaiki kedudukan adalah titik
penting yang akan menentukan peluang pasukannya dalam merebut gelaran Perdana
Dua.
Malah beliau sudah memberi
ingatan tersebut kepada pemain-pemain dan berharap mereka dapat mengembalikan
pasukan itu ke landasan yang betul.
``Mahu tak mahu kita mesti
menang. Jika tidak kita akan ketinggalan dan sukar untuk mengejar mata pasukan
lain,'' jelasnya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4czNEOpfI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan