Ahad, 13 November 2016

Bola kini berada di kaki pemain

ARKIB : 12/02/1999
''BOLA kini berada di kaki pemain, persatuan sudah melakukan apa yang sepatutnya,'' kata Abdullah Sani Abdul Hamid ketika menggambarkan harapannya untuk sekurang- kurangnya memiliki satu piala berprestij pada musim ini, lapor MEOR HARMAN SHAKRI.

Kata-kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) itu jelas membayangkan harapan seluruh jentera persatuan dan peminat sukan tempatan apatah lagi pelaburan pada musim ini menjangkau kepada RM2.5 juta.

Menurut Abdullah, percaturan skuad Negeri Sembilan kini berjalan dengan lancar apatah lagi keyakinan yang ditunjukkan oleh barisan pemain ketika menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih Irfan Bakti menggembirakan semua pihak.

''Kini segala-galanya terletak pada bahu pemain dan mereka semestinya mengetahui matlamat dan cita-cita kita pada tahun ini untuk membawa pulang kejuaraan,'' katanya di Seremban, semalam.

Bagi menguji keserasian para pemain, Abdullah memberitahu, pihaknya sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan di sini termasuk bertandang ke utara bagi menyertai jemputan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada akhir Februari ini.

Pada musim ini, skuad negeri yang diberi jolokan Rusa turut dibarisi oleh enam pemain dari skuad kebangsaan malah skuad berkenaan juga boleh dikatakan amat seimbang di semua posisi termasuk kebolehan setiap pemain untuk menjaringkan gol.

Antara barisan pemain musim ini ialah Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd. Yazid Yasin, Khairil Zainal, Faizal Zainal, Ching Hong Aik, Khairul Anuar Baharom dan B. Rajinikandh.

Selain itu, Ahmad Shahrul Azhar, Tuan Kamree Tuan Yahya, Adnan Mohd. Zain, Rizal Hasan, Shamsul Akmar Japperi, Zami Mohd. Nor, Halim Jantan, Azmi Mohamed, Affendi Malek dan Nor Isham Ismail.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan untuk mendapatkan pemain Arfandi Lokman dari Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), beliau berkata, PBNS masih berbincang mengenai soal bayaran yuran perpindahan yang dikenakan.

''Namun, saya mengucapkan terima kasih kepada MAFA kerana masih mahu berbincang dengan PBNS berhubung perkara tersebut dan berharap Arfandi dapat menyarung jersi negeri pada musim ini,'' ujarnya.

MAFA sebelum ini mengenakan yuran sebanyak RM100,000 kepada PBNS sebagai bayaran perpindahan untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PswaKkRH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan