ARKIB : 16/01/2001
Malahan terdapat beberapa
pemain yang telah mencapai prestasi yang amat membanggakan menerima kenaikan
gaji 100 peratus daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
Setiausaha Kehormat PBNS,
Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kenaikan gaji pemain-pemain itu berdasarkan
kepada prestasi yang telah diperlihatkan pada musim lepas di mana skuad Rusa
menjadi naib juara Piala Malaysia setelah tewas 0 - 3 kepada Perak dalam
perlawanan akhir.
Tambahnya, PBNS juga telah
mengadakan perbincangan mendalam dan memberi beberapa pilihan kepada para
pemain mengenai struktur gaji.
"Kesemua pemain gembira
dengan gaji dan faedah-faedah lain yang telah ditawarkan oleh PBNS dan mereka
telah memberi akur janji untuk membawa skuad Rusa ke mercu kejuaraan pada tahun
ini,'' katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak pemain di
Seremban, semalam.
Dua belas pemain skuad Rusa
musim lepas menyambung kontrak dengan PBNS termasuk Azman Adnan, Wong Sai Kong,
Effendi Malek serta Khairul Annuar Baharom dan empat tonggak baru
menandatangani kontrak dua tahun iaitu Zami Md. Noor, Nazzab Hidzan dan
Yusfizam Johar bekas pemain Selangor dan A. Ganesson bekas pemain Terengganu.
Tambahnya, PBNS juga tidak akan
menawarkan bonus kepada pemain-pemain seperti tahun lepas tetapi sekiranya
skuad Rusa mencapai kejayaan seperti yang telah disasarkan, persatuan mungkin
akan menimbangkan pembayaran bonus seperti yang dilakukan apabila menjadi naib
juara pada tahun lepas di mana pemain dan pegawai menerima bonus dari RM2,000
hingga RM20,000.
Ujarnya, apa yang diutamakan
sekarang ialah gaji para pemain akan dibayar tepat pada waktunya dan akan
menawarkan kenaikan gaji berdasarkan kemampuan kewangan persatuan.
Abdullah Sani juga berkata,
skuad Rusa berazam untuk membawa pulang salah satu piala pada tahun ini bagi
menghapuskan kekecewaan yang melanda pasukan itu sejak beberapa tahun lalu.
Kekecewaan terbesar skuad Rusa
ialah kegagalan untuk membawa pulang Piala Malaysia setelah menanti selama 53
tahun.
Katanya, sasaran awal skuad
Rusa ialah membawa pulang Piala FA yang akan bermula pada Mac ini dan
berdasarkan kepada prestasi yang telah ditunjukkan oleh pemain pada musim lepas
peluang agak cerah.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4bLedS9HX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan