ARKIB : 01/02/2001
PASUKAN bola sepak Negeri
Sembilan masih belum boleh mengharapkan pemain-pemain muda berikutan persembahan
tidak konsisten dalam tiga perlawanan persahabatan iaitu bertemu Tentera,
Telekom Melaka dan yang terbaru bertemu kelab divisyen satu Switzerland, FC
Aarau di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban, semalam.
Skuad Rusa yang menurunkan
pemain-pemain muda dalam perlawanan malam semalam, seperti Palanial Samy,
Firdaus Ahmad dan Rashid Reda yang sebelum ini bermain dalam Piala Presiden
tewas 1-3 walaupun mendahului pasukan pelawat pada minit kelapan melalui
jaringan Norhisham Ismail sebelum FC Aarau membalas dengan tiga gol dalam
separuh masa pertama.
Keinginan jurulatih skuad Rusa,
Mohd. Zaki Sheikh Ahmad untuk melihat pemain-pemain muda bimbingannya menyerlah
dalam perlawanan ini hampa apabila mereka tidak bermain dengan baik dan mudah
hilang tumpuan apabila FC Aarau menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-11.
Bagaimanapun kehampaan Mohd. Zaki
terubat sedikit apabila dua tonggak baru skuad Rusa, Nazzab Hidzan dan Yusfizam
Johar yang sebelum ini bermain dengan Selangor memperlihatkan permainan yang
baik disamping tidak mudah putus harapan untuk melakukan gerakan cantik.
Beliau yang ditemui selepas
perlawanan itu berkata, pemain- pemain muda skuad Rusa masih belum dapat
membuktikan keupayaan masing-masing dan masih teraba-raba dalam mencari gerakan
untuk menjaringkan gol.
Namun beliau melihat pertemuan
dengan FC Aarau malam semalam sebagai medan untuk mendedahkan pemain-pemain
muda skuad Rusa dengan permainan pantas, keupayaan taktikal, stamina tinggi dan
penuh bersemangat yang ditunjukkan oleh pemain-pemain pasukan pelawat.
``Ini merupakan pendedahan yang
baik kepada pemain muda dan diharapkan mereka dapat menyerap keupayaan yang
ditunjukkan oleh pemain-pemain FC Aarau,'' katanya.
Berkaitan dengan pemain-pemain
senior, Mohd. Zaki berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan yang
ditunjukkan oleh Khairul Anuar Baharom, Efendi Malek yang dapat mengekalkan
prestasi dan keupayaan.
Mohd. Zaki memberitahu, beliau
tidak dapat menurunkan Azman Adnan dan Wong Sai Kong kerana tidak mahu
mengambil risiko, tonggak utama skuad Rusa itu cedera.
Perkiraan ini juga diambil
berikutan enam pemain utama skuad Rusa, Mohd. Shukor Adan, Zamani Nhisbah,
Saiful Sabtu, K. Rajan, Chow Chee Weng dan Leong Hong Seng sedang menjalani
latihan dengan pasukan kebangsaan.
Ujar beliau, skuad Rusa akan
mengadakan lima lagi perlawanan persahabatan untuk memantapkan keupayaan
pemain-pemain di mana pada 6 Februari akan bertemu dengan Selangor dan pada 8
Februari dengan kelab dari Singapura, Clemente kesemuanya akan diadakan di
Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bNj3W2Oh©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan