ARKIB : 08/10/2000
NEGERI Sembilan menamatkan
kemarau 52 tahun apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir bola sepak
Piala Malaysia dengan agregat 4-2 selepas menewaskan Sarawak 2-1 pada
perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Skuad Rusa menang 2-1 pada
separuh akhir pertama di Kuching Sabtu lepas.
Stadium yang padat dengan
kira-kira 20,000 penyokong tuan rumah menyaksikan aksi menarik sepanjang babak
pertama perlawanan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan
hajat mencari gol seawal mungkin.
Bekas penyerang kebangsaan,
Azman Adnan memulakan aksi garang tuan rumah apabila membuat larian solo ke
dalam kawasan berbahaya pelawat, namun terjatuh ketika cuba membuat percubaan
ketika pertemuan baru berusia enam minit.
Kejutan yang dilakukan pasukan
tuan rumah sebaliknya membangkitkan semangat Sarawak yang lebih dulu menjumpai
sasaran pada minit kesembilan.
Hasil gerakan dari sebelah kiri
yang bermula daripada Nazri Yunus, bola hantarannya meleret kepada Bobby Pian
yang kemudian melorongkan kepada Ramos Sari yang tidak dikawal di dalam kotak
penalti, mudah menyepak masuk untuk menyamakan kedudukan agregat 2-2.
Keceriaan kem Sarawak hanya
bertahan dua minit. Azman sekali lagi dijatuhkan, kira-kira 25 meter dari pintu
gol untuk memberi peluang kepada pakar sepakan percuma skuad Rusa, Wong Sai
Kong sekali lagi memperlihatkan keajaiban sentuhan kaki kanannya.
Sai Kong tidak menghadapi
masalah untuk memukau penjaga gol lawan, Mazlan Wahid dengan sepakan cantik
yang menerjah penjuru kanan gawang sementara Mazlan hanya terpaku tanpa idea
untuk membuat gerakan menyelamat.
Kali ini, Effendi Malek
menyambar peluang yang terhidang di depan pintu gol apabila melayangkan badan
untuk menanduk masuk hantaran lintang sayap kanan, Mohd. Shukor Adan pada minit
ke-11 untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Separuh kedua menyaksikan
Negeri Sembilan yakin dan menguasai hampir keseluruhan posisi selepas 15 minit
permainan disambung.
Para penyokong tuan rumah terus
bergemuruh dengan sorakan pada minit ke-54 setelah Azman menolak masuk hantaran
dari K. Rajan dari kanan, namun pengadil memutuskan penjaring terbanyak liga
Perdana itu berada dalam posisi offside.
Sarawak membuat tiga pertukaran
pada babak kedua untuk memberi nafas baru bagi mengimbangi serangan bertali
arus pasukan lawan.
Jurulatih Rusa, Mohd. Zaki
Ahmad turut membuat tiga pertukaran termasuk memberikan pengalaman aksi separuh
akhir kepada pemain bawah 19, Mohd. Saiful Sabtu menggantikan K. Rajan yang
banyak mencipta gerakan dari sebelah kanan.
Negeri Sembilan akan bertemu
Perak yang menang agregat 4-2 ke atas Selangor di Stadium Perak, Ipoh, dalam
satu lagi perlawanan.
Kemenangan Negeri Sembilan
disambut meriah para penyokongnya apabila mereka meluru ke dalam padang sebaik
sahaja perlawanan ditamatkan namun keadaan berada dalam keadaan terkawal.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b49Ex553
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan