Sabtu, 25 Mac 2017

Negeri Sembilan kekal 9 pemain



ARKIB : 17/11/2002

NEGERI Sembilan mengekalkan sembilan pemain musim ini untuk beraksi pada Liga Perdana Dua musim depan.

Mereka ialah Efendi Abdul Malek, Mohamad Syaiful Sabtu, Mohd Suffian Ab Rahman, Norhafiz Zamani Misbah, K.Rajan, Shahrizam Mohamed, Azrine Afendy, S.Palanisamy dan Md Yunus Mulup.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Jamaludin Ahmad berkata, kesemua pemain ini adalah pemain muda dan pengekalan mereka berdasarkan komitmen dan prestasi semasa.

``Mereka juga akan menjadi kelompok pemain yang akan membentuk sebuah pasukan mantap musim depan,'' katanya di Seremban, semalam.

Beliau berkata walaupun jurulatih K.Devan mempunyai tugas berat untuk membentuk sebuah pasukan mantap, tetapi beliau percaya bekas jurulatih Piala Presiden itu mampu memikul tanggungjawab tersebut.

Sementara itu, Jamaludin yang dipilih semula sebagai pengurus pasukan berkata, PBNS telah membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain termasuk mereka yang pernah menyarung jersi skuad Rusa.

Katanya ini adalah sebahagian langkah segera PBNS untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 16 pemain lagi bagi melengkapkan senarai 25 pemain musim depan.

``Setakat ini kita telah berjaya mendapatkan semula khidmat pemain pertahanan Khairul Anuar Baharom selepas semusim bersama Telekom Melaka. Seorang lagi bekas pemain negeri yang telah menamatkan pengajian di UiTM, Khalid Masrom juga akan bersama kita musim depan.

``Kita kini sedang berunding untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan B.Rajnikandh,'' katanya.

Negeri Sembilan akan menggunakan stadium luar sama ada di Bangi atau Kuala Lumpur musim depan ekoran kerja-kerja menaiktaraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cP15rNrd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan