Ahad, 19 Mac 2017

P. Pinang, NS ke suku akhir

ARKIB : 07/10/2001
JUARA liga, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menjadi dua lagi pasukan layak ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas menang dalam perlawanan masing-masing, semalam.

Negeri Sembilan mara dengan penuh bergaya apabila membelasah Kuala Lumpur 6-0 di Stadium KLFA, Cheras untuk mendahului kumpulan A.

Effendi Malek dan bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan masing-masing melakukan hatrik. Effendi menjaringkan gol pada minit pertama, 35 dan 62 sementara Azman menemui sentuhan gol pada minit ke-55, 64 dan 82.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menempah tiket ke suku akhir selepas mengalahkan JKR Kedah 3-0 untuk muncul juara kumpulan D.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh Zailani Jaafar, (minit ke-44), Asmawi Hassan (m23) dan Mohd. Aiman pada minit ke-44.

Selangor turut mencerahkan peluang untuk mara ke suku akhir selepas menundukkan Johor FC 2-0 di Stadium Pasir Gudang.

Ketua pasukan, Yusri Che Lah membuka jaringan Selangor pada minit ke-13 dan penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusop melengkapkan kemenangan pada minit ke-35.

Dalam kumpulan B, perebutan tiket ke suku akhir masih terbuka selepas Pahang dan NS Chempaka seri 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Pahang yang akan mengesahkan tempat ke suku akhir jika menang, mensia-siakan kelebihan mendahului 2-1, selepas tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi R. Maniwarnan pada minit ke-57.

Kelantan mencerahkan peluang untuk mengisi satu tempat ke suku akhir dengan menundukkan Sarawak 3-1 di Stadium Sultan Mohamed IV.

Mohd. Hardi Ahmad menjaringkan dua gol Kelantan pada minit keenam dan ke-20, diikuti jaringan S. Sivaram pada minit ke-87.

Dalam satu lagi perlawanan, Sabah dan Perlis terpaksa menunggu untuk meraih tiket kedua ke suku akhir dalam kumpulan C apabila terikat tanpa jaringan di Stadium Penampang.

Sementara di Stadium Sultan Ismail, Terengganu yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir lebih awal mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kumpulan C selepas membelasah JKR Kelantan 6-0.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4blBJaffb

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan