ARKIB : 05/09/2000
PERSAINGAN ke suku akhir bola sepak
Piala Malaysia masih terbuka luas untuk semua pasukan, namun jika dilihat
kepada kedudukan mata, pendahulu kumpulan D, Negeri Sembilan adalah yang paling
selesa ketika ini.
Skuad Rusa mengumpul mata penuh
daripada tiga perlawanannya dan hanya perlu mencuri satu mata dalam
pertemuannya dengan Perak di tempat sendiri di Paroi malam ini.
Berdasarkan rekod dan prestasi semasa
Negeri Sembilan, sukar untuk Perak menghalang tuan rumah yang menumpaskan
mereka 3-1 di Ipoh pada 22 Ogos lepas.
Sementara itu, dua pasukan lain Johor
dan Kedah yang berkongsi mata turut berkongsi satu tekad - membuktikan kepada
penyokong masing-masing bahawa mereka masih tidak boleh diketepikan begitu
sahaja.
Johor bagaimanapun akan melangkah ke
gelanggang dengan perasaan agak tertekan setelah empat penonton membuat laporan
polis bahawa beberapa pemain Jengking memukul mereka.
Kedah juga masih belum dapat melarikan
diri dari bayangan bahawa berlaku perbuatan rasuah dalam pasukan itu.
Persaingan dalam kumpulan A juga
menarik perhatian peminat terutama pasukan Pahang yang berpeluang menebus malu
kalah 5-1 kepada juara Perdana Satu, Selangor di Stadium Darul Makmur.
Tok Gajah yang mengumpul empat mata
juga sudah boleh menurunkan semula bekas penyerang Selangor, Shahrin Majid yang
digantung dua perlawanan. Shahrin menjaringkan gol tunggal Pahang ketika
bertemu Red Giants di Shah Alam 22 Ogos lepas.
Sementara itu Brunei seperti juga
Selangor baru menghabiskan dua perlawanan namun berbeza nasib.
Ketika skuad dari Lembah Klang itu
mengutip mata penuh, pencabarnya dari seberang laut itu pula sekadar mendapat
satu mata.
Brunei akan bertemu Melaka untuk kali
kedua pada peringkat kumpulan A ini selepas seri 0-0 pada perlawanan pembuka
tirai kejohanan.
Jika Melaka dapat bermain seperti
ketika bertemu Selangor dalam perlawanan keduanya, sukar bagi Brunei menghalang
skuad Kancil meragut mata maksimum perlawanan.
Persaingan kumpulan C pula adalah yang
paling terbuka. Pendahulu kumpulan, Sarawak, Terengganu, Johor FC dan Sabah
tidak berada jauh di antara satu sama lain dari segi kutipan mata.
Namun, pertemuan Sabah dengan Johor FC
di Likas hari ini lebih menarik untuk diperkatakan. Sabah tewas 1-0 kepada
pasukan kelab itu pada aksi sulungnya dan kemudian tunduk 3-1 kepada Sarawak.
Bagaimanapun Sabah seperti mati hidup
semula apabila mengetepikan ramalan awal dengan menundukkan juara Piala FA,
Terengganu Sabtu lepas.
Pertemuan pertama antara Sarawak dengan
Terengganu memihak kepada skuad Penyu dengan keputusan 2-0. Perlawanan ulangan
di Stadium Sarawak malam ini adalah peluang terbaik untuk Sarawak membalas
dendam sekali gus mengukuhkan peluangnya untuk ke suku akhir.
Kelantan pula tampak sukar untuk
dinafikan laluan mereka ke suku akhir dari kumpulan B. Juara Perdana Dua itu
hanya melepaskan satu mata daripada tiga perlawanan setakat ini setelah seri
0-0 dengan Perlis pada perlawanan sulung masing-masing. Perlawanan ulangan hari
ini akan berlangsung di Kangar, namun belum pasti tuan rumah memiliki kelebihan
berpandukan kepada rekod semasa Kelantan.
Kemenangan 3-0 ke atas naib juara
Perdana Satu, Pulau Pinang dan menumpaskan Kuala Lumpur 2-0 Sabtu lepas harus
memberi peringatan kepada Perlis bahawa mereka mungkin tidak lagi dapat
berkongsi mata kali ini.
Pulau Pinang pula masih gagal menemui
rentaknya ketika bersaing dalam liga. Menduduki tempat ketiga kumpulan ketika
ini adalah satu tamparan hebat kepada mereka.
Oleh itu, aksi di KLFA bertemu Kuala
Lumpur yang menunjukkan persembahan serba tidak kena bertemu Kelantan tiga hari
lepas adalah medan terbaiknya untuk mendapat semula rentak tari yang membawanya
menyaingi Selangor sehingga ke penghujung musim liga.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b0Cb4uK7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan