Sabtu, 11 Mac 2017

Benteng Si Rusa jadi ranjau buat pemain Seladang - Khairul

ARKIB : 12/10/2000
TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom akan memastikan benteng pertahanan skuad Si Rusa akan menjadi ranjau menyekat setiap serangan Perak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Berbekalkan pengalaman 1998 membantu Perak memenangi Piala Malaysia, Khairul yakin barisan pertahanan skuad Rusa merupakan antara yang paling kebal di antara pasukan-pasukan yang bertanding dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Katanya, berdasarkan kepada jumlah gol yang dapat menembusi gawang skuad Rusa, ia adalah pencapaian cemerlang barisan pertahanan.

Bagaimanapun, dia tidak berani mengatakan sama ada barisan pertahanan Rusa menganggap barisan serangan Perak mudah dipatahkan.

''Semuanya bergantung kepada semangat dan komitmen barisan pertahanan, adakah kami berupaya hanya dapat dilihat pada perlawanan akhir nanti,'' katanya ketika ditemui selepas selesai menjalani latihan di Seremban, semalam.

Tambahnya, keupayaan mengalahkan Perak dalam persaingan awal Piala Malaysia tidak boleh dijadikan sandaran bahawa Rusa dengan mudah dapat membenamkan Seladang.

Ujar Khairul, dia akan memberi perangsang kepada rakan- rakan terutama yang pertama kali merasai bahang perlawanan akhir Piala Malaysia.

Dia memberitahu, apa yang diutamakan sekarang ialah menumpukan kepada permainan dan cuba mengurangkan rasa gentar atau takut semasa perlawanan akhir nanti.

Tetapi Khairul memberi jaminan, segala akan dilaksanakan bagi memastikan skuad Rusa tidak putih mata dan menyaksikan nama Negeri Sembilan terpahat dalam lakaran sejarah sebagai pasukan yang memenangi Piala Malaysia setelah menanti selama 52 tahun.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b5HdGmJM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan