Sabtu, 11 Mac 2017

Sai Kong sudah tak sabar lagi

ARKIB : 14/10/2000
PAKAR tendangan bebas skuad bola sepak Negeri Sembilan, Wong Sai Kong sudah tidak sabar menanti perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Perak, esok, lapor HATA WAHARI.

''Tiap-tiap malam saya cuba membayangkan suasana Stadium Shah Alam yang gamat dengan sorakan kira-kira 70,000 penyokong Negeri Sembilan dan Perak.

''Ia satu suasana yang amat mempesonakan. Sukar untuk membayangkan saya adalah salah seorang pemain yang bakal beraksi pada perlawanan itu,'' kata Wong mengenai persiapannya menjelang perlawanan penting itu sewaktu ditemui selepas latihan di Port Dickson, semalam.

''Ia menjadi impian setiap pemain untuk beraksi pada perlawanan akhir.''

Bagaimanapun kata Wong, dia juga terpaksa melakukan satu perkara tiap-tiap malam iaitu memberi tumpuan untuk perlawanan itu.

''Saya sudah bersedia untuk membawa Negeri Sembilan ke mercu kegemilangan, membawa khabar gembira untuk para penyokong dengan bermain cemerlang dan sebolehnya menjaringkan gol sebanyak mungkin.

''Matlamat utama saya ialah untuk bersama-sama rakan sepasukan meraikan kejayaan,'' katanya.

Mengenai persediaan mental jelas Sai Kong, dengan bimbingan jurulatih dan rakan-rakan yang lebih berpengalaman semuanya berjalan dengan baik.

Selepas dua hari berada di Port Dickson semuanya kembali tenang dan para pemain kini hanya memberi tumpuan kepada latihan.

''Kini tugas saya hanya bermain dengan baik dan memastikan setiap arahan dan strategi yang telah diatur dapat dilaksanakan semasa perlawanan akhir nanti,'' tambahnya.

Untuk penyokong skuad Rusa, Sai Kong mahukan sokongan padu diberikan kepadanya serta rakan-rakan bagi memastikan Piala Malaysia akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4b5MUV2bP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan