ARKIB : 09/10/2000
SKUAD bola sepak Negeri
Sembilan akan diberikan imbuhan jika menjuarai Piala Malaysia selepas berjaya
melayakkan diri ke perlawanan akhir setelah 52 tahun.
Menteri Besar Tan Sri Mohd. Isa
Abdul Samad yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS)
bagaimanapun meminta pemain memfokuskan penumpuan kepada perlawanan akhir.
''Kita tidak pernah janji
tetapi apabila ada kejayaan, adalah sedikit sebanyak insentif,'' kata Mohd. Isa
yang juga Menteri Besar kepada pemberita ketika ditanya sama ada PBNS atau
kerajaan negeri akan memberikan imbuhan kepada pemain.
Negeri Sembilan akan bertemu
Perak pada pertandingan akhir pada 15 Oktober ini. Negeri Sembilan layak
setelah mengalahkan Sarawak dengan agregat 4-2 manakala Perak menundukkan
Selangor dengan agregat yang sama pada separuh akhir.
Mohd. Isa berkata kejayaan
Negeri Sembilan melangkah ke perlawanan akhir begitu bermakna dan merupakan
satu detik sejarah untuk Negeri Sembilan kerana kali terakhir melangkah ke
perlawanan akhir ialah pada 1948 yang ketika itu dikenali Piala Malaya. Pada
tahun itu Negeri Sembilan muncul juara mengalahkan Selangor 2-1.
''Tempoh 52 tahun, satu tempoh
yang lama...inilah peluang terbaik untuk rakyat dan penyokong negeri ini
melihat Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia. Ketika Negeri Sembilan menang
pada 1948 itu, saya belumpun lahir,'' katanya yang menjangkau usia 51 tahun,
tahun ini.
Katanya lagi, rata-rata pemain
adalah muda dengan hanya tiga orang pemain senior iaitu penyerang Azman Adnan
dan Azmi Mohamed serta pemain pertahanan yang juga ketua pasukan Khairul Anuar
Baharom.
Mohd. Isa berkata penubuhan
akademi bola sepak yang dibantu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah
melahirkan pemain muda berbakat yang telah berjaya membawa cabaran Negeri
Sembilan tahun ini.
Antara yang menonjol ialah
penyerang yang meningkat naik Effendi Malek dan pemain tengah Wong Sai Kong,
yang masing-masing menjaringkan satu gol ketika separuh akhir kedua di sini
malam tadi untuk membolehkan Negeri Sembilan menundukkan Sarawak 2-1.
Pada perlawanan separuh akhir
pertama, Effendi muncul wira dengan dua gol ketika menumpaskan Sarawak juga
dengan 2-1. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b4AouM9C
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan