Sabtu, 11 Mac 2017

Negeri Sembilan tidak hadapi masalah besar

ARKIB : 04/10/2000
NEGERI Sembilan sekadar meraikan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sarawak, semalam.

Kejayaan itu melanjutkan lagi rekod tanpa kalah pasukan pelawat itu yang hanya dibolosi lapan gol setakat ini dan dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk meneruskan tugas di Stadium Paroi, 7 Okbober ini.

Negeri Sembilan yang kecewa untuk ke perlawanan akhir pada musim 1998 dan 1999, diberi tentangan sengit di awal permainan oleh skuad tuan rumah.

Sarawak hampir mengejutkan pasukan pelawat pada minit pertama permainan apabila Ramos Sari yang tidak dikawal hanya berdepan penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad tetapi usahanya itu pantas disekat.

Penyerang Sawarak, Zulkarnaen Mohd. Poasa bagaimanapun berjaya memastikan tuan rumah mendahului pada minit kelapan selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol Negeri Sembilan.

Begitupun, pasukan pelawat bangkit menyamakan kedudukan apabila Effendi Malek yang menerima hantaran Chow Chee Weng, melepaskan tandukan kencang pada minit ke-15 untuk menewaskan penjaga gol, Mazlan Abdul Wahed.

Sarawak cuba bangkit pada minit ke-44 apabila Ramos Sari melakukan hantaran cantik kepada Nazri Yunus, tetapi tandukan rakan sepasukannya itu berjaya dihalang oleh Hamsani.

Kira-kira 15,000 penyokong Sarawak dikecewakan sekali lagi apabila Effendi menjaringkan gol kedua Negeri Sembilan pada minit ke-60 selepas menerima umpanan Chee Weng untuk menewaskan Mazlan.

Jaringan itu mengejutkan Sarawak yang berusaha keras untuk menyamakan kedudukan, tetapi jentera serangan tuan rumah sering digagalkan oleh pertahanan lawan yang diketuai Khairul Anuar.

Pemain gantian, Gilbert Cassidy Gawing bagaimanapun hampir menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-67, tetapi tandukan yang dilakukannya jauh tersasaran daripada pintu gol lawan.

Sarawak enggan mengalah dan berusaha melakukan apa yang terdaya, namun keputusan tidakberubah sehingga wisel penamat ditiup.

Kekalahan ini dijangka menyukarkan lagi Sarawak apabila bertandang ke Stadium Paroi, Sabtu ini pada saingan separuh akhir kedua, jika rekod cemerlang negeri Sembilan di gelanggang sendiri menjadi ukuran.

Kejayaan Negeri Sembilan juga melebarkan lagi kehebatannya kepada 27 gol daripada lapan perlawanan.

Pada 1998, Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul Piala Malaysia apabila tersekat di separuh akhir kepada Perak yang mencatat kemenangan agregat 3-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4b26PSWar © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan