ARKIB : 11/02/2003
NEGERI Sembilan memulakan
kempen Liga Perdana Dua dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas SKMK Kelantan di
Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam.
Bekas penyerang Selangor Azman
Adnan membuka tirai jaringan apabila rembatan kencangnya di depan pintu gol
SKMK Kelantan gagal diselamatkan penjaga gawang, Halim Napi pada minit ke-57.
Jaringan itu menyemarakkan
semangat Negeri Sembilan untuk menambah gol pada minit ke-60 menerusi tolakan
Suharmin Yusof yang diselamatkan Halim selepas berlaku pergelutan di depan
gawang SKMK Kelantan.
Sebelum berakhir permainan,
Negeri Sembilan terus memberi tekanan kepada SKMK Kelantan untuk giliran
Effendi Malik yang menerima hantaran Azrine Effendy Sa`adudin menghasilkan gol
pada minit ke-90.
Di Stadium Persatuan Bola Sepak
Kuala Lumpur (KLFA), Kuala Lumpur gagal memanfaatkan peluang beraksi di
gelanggang sendiri apabila sekadar terikat tanpa jaringan dengan TNB Kelantan.
Di Bandar Seri Begawan, Brunei,
pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia, tewas 0-2 kepada Public BANK
Selangor di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Pemain import Public Bank
Selangor, Milan Strelec menjadi wira pasukan kelab itu apabila menjaringkan dua
gol, masing-masing pada minit ke-24 dan 43.
Separuh masa kedua menyaksikan
Brunei cuba bangkit di hadapan penyokong sendiri tetapi pasukan lawan
sebaliknya memperkukuhkan pertahanan untuk menghalang serangan demi serangan
oleh pasukan tuan rumah.
Di Stadium Perak, Johor
mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak TKN walaupun permainan dikuasai tuan
rumah.
Johor mendahului 1-0 menerusi
tandukan Daniel J. Watkins pada minit ke-34 sebelum Suhaimi Jamil menambah
jaringan minit ke-88.
Di Petaling Jaya, hatrik pemain
import dari Argentina, Juan Manuel Arostedui membantu MPPJ Selangor menang 4-0
ke atas Polis di Stadium Petaling Jaya.
Arostedui memulakan jaringan
selepas 25 minit permainan apabila mendapat umpanan rakannya dari Argentina,
Bruno Martelotto.
Polis terpaksa bermain 10 orang
pada minit ke-72 apabila V. Santanadass dilayangkan kad merah kerana mengasari
Arostedui.
Arostedui menjaringkan penalti
yang diberi kepada MPPJ Selangor seminit kemudian dan menambah gol ketiga enam
minit sebelum perlawanan berakhir.
Martelotto kemudian
melengkapkan jaringan dengan gol keempat dalam minit terakhir
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cWjoYApg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan