ARKIB : 07/10/2000
NEGERI Sembilan harus mengelak
daripada bersikap terlalu yakin apabila menerima kunjungan Sarawak dalam
perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Tuanku
Abdul Rahmah, Paroi hari ini.
Walaupun agak selesa selepas
menewaskan lawan 2-1 di Kuching Selasa lalu, namun hanya 90 minit permainan
akan menentukan sama ada Negeri Sembilan mampu melakar sejarah mara ke akhir
selepas 52 tahun atau kecewa buat kali ketiga.
Keupayaan pemain untuk
mengatasi tekanan dan harapan terlalu tinggi daripada penyokong setia antara
faktor penting yang menentukan kemaraan skuad bimbingan Mohd. Zaki Ahmad itu.
Pengurus pasukan, Wan Zainal
Abidin Wan Abdullah berkata, skuad Rusa hanya mempunyai satu matlamat - menang
dan melayakkan diri ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun, dia menasihati
pemain supaya sentiasa berhati-hati kerana walaupun berada dalam kedudukan
selesa dan bermain di tempat sendiri, namun sedikit kealpaan mampu menguburkan hasrat
mereka untuk beraksi di perlawanan akhir.
Katanya lagi, semua apa-apa
saja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit permainan separuh akhir kedua.
''Sebelah kaki Rusa telah pun
memasuki gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi terdapat jerat yang
masih menanti dengan setia untuk sebelah kaki lagi,'' katanya ketika ditemui di
Seremban semalam.
Wan Zainal berkata, walaupun
separuh akhir tahun ini berbeza dengan keadaan separuh akhir tahun 1988 dan
1999, yang pastinya Sarawak akan bermain habis-habisan menyekat kemaraan Skuad
Rusa.
Bagaimanapun, yang pasti segala
usaha akan dilakukan untuk memastikan Negeri Sembilan tidak melakukan sebarang
kesilapan seperti perlawanan di Stadium Sarawak, Selasa lalu.
''Walaupun Azman Adnan dan
Effendi Malek diikat oleh pemain Sarawak dalam perlawanan malam Sabtu ini,
Skuad Rusa ada senjata simpanan untuk memastikan kejayaan.
''Sekarang bukan masanya untuk
mengharapkan kepada seorang atau dua pemain sahaja untuk menjaringkan gol
kemenangan, semua pemain telah diberi mandat untuk mempergunakan peluang yang
ada seluas-luasnya,'' katanya lagi.
Sekiranya Sarawak mengambil
pendekatan untuk menyerang bertubi-tubi, skuad Rusa pula mempunyai pendekatan
bagi memastikan setiap ancaman dan serangan akan menjadi permulaan serangan
balas ke gawang Sarawak.
Sementara itu jurulatih Negeri
Sembilan, Mohd. Zaki Ahmad berkata, walaupun sebanyak mana ancaman yang akan
diterima, mereka tidak akan berputus asa untuk mencapai kegemilangan.
Katanya, inilah masa untuk
mempergunakan segala keupayaan dan kemahiran pemain-pemain bimbingannya bagi
memastikan tempat ke perlawanan akhir.
Seperti selalu, Mohd. Zaki yang
sentiasa optimis dan merangka strategi baru dalam setiap perlawanan
menjelaskan, apa yang penting pemain akan dapat melaksanakan strategi yang
telah diatur.
''Sekiranya semuanya berjalan
seperti yang dirancang, skuad Rusa pasti mencapai hasrat yang dinanti-nanti
selama 52 tahun,'' katanya.
Mohd. Zaki memberitahu, barisan
yang sama akan diturunkan dalam perlawanan hari ini, dengan Khairul Anuar
Baharom dan Salim Khamis akan diberi mandat untuk mengemudikan barisan
pertahanan.
Bekas penyerang kebangsaan,
Azman Adnan, Effendi Malek. K.Rajan serta M. Elango akan mengemudi dan
melaksanakan gerakan-gerakan untuk membolosi gawang Sarawak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b45v3VlH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan