Isnin, 27 Mac 2017

NS yakin jurulatih baru



ARKIB : 15/01/2003
Oleh AZMAN CHE MAN
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) yakin pasukan bola sepak negeri itu yang kini be-rada di bawah kendalian jurulatih baru akan berjaya mencipta satu kejayaan yang membanggakan dalam usaha pasukan itu memburu kejuaraan dalam saingan Perdana Dua musim ini.

Timbalan Presiden PBNS, Datuk Jamaluddin Ahmad berkata, selain mendapat khidmat jurulatih yang berpengalaman luas, penyertaan ramai pemain ternama dalam pasukan itu pada tahun ini menambahkan lagi keyakinan pengurusan PBNS.

Pasukan itu kini dilatih jurulatih tempatan berwibawa, K. Devan yang mengambilalih tugas jurulatih musim lalu, Zaki Sheikh Ahmad.

``Impian kita sangat tinggi iaitu muncul juara Liga Perdana Dua dan bertanding dalam Perdana Satu pada musim depan dan saya yakin kita akan berjaya mencapai sasaran ini,'' katanya selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Negeri Sembilan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Seremban, kelmarin.

Dalam aksi persahabatan yang turut menyaksikan percubaan dua pemain import iaitu Oliver Quiah dari Amerika Syarikat dan Ashong Popeson dari Ghana itu, skuad Rusa berjaya menewaskan ATM dengan keputusan 3-2.

Mengulas mengenai keputusan perlawanan itu, Jamaluddin menegaskan, walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, beliau menyifatkannya sebagai gambaran awal kebangkitan pasukan Negeri Sembilan pada musim ini.

``Mereka menunjukkan persembahan dan persefahaman yang jitu dan saya nampak inilah pasukan yang akan membawa kejayaan kepada Negeri Sembilan,'' tegasnya.

Ketika ditanya mengenai pengambilan pemain import pada musim ini, Jamaluddin berkata, PBNS masih lagi mencari pemain yang sesuai dan berkualiti bagi membantu pasukan itu mencari kejuaraan pada kali ini.

``Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden PBNS (Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad) kerana memberi peluang kepada kami untuk membuat pemilihan pemain yang akan mewakili Negeri Sembilan,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cVbt2wGD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan