ARKIB : 11/05/2003
Oleh NIZAM HAMID
NEGERI SEMBILAN sekadar mencatat
kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah pada perlawanan separuh akhir pertama bola
sepak Piala FA di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam.
Tetapi kelebihan satu gol hasil
jaringan Effendi Malek pada minit ke-35 itu ternyata masih belum selamat buat
pasukan tuan rumah yang akan bertandang ke Stadium Likas pula untuk separuh
akhir kedua, Sabtu depan.
Malah pasukan Rusa hampir pulang
tanpa sebarang bekalan gol apabila Sabah menafikan segala gerakan yang
dilakukan.
Minit awal permainan menyaksikan
kedua-dua pasukan begitu berhati-hati mencari gol pendahuluan dengan Negeri
Sembilan lebih dulu mencipta peluang.
Azrul Amri Burhan yang berjaya
melepaskan diri dari sebelah kanan padang melakukan sepakan kencang yang
bagaimanapun melepasi palang gol Sabah pada minit ke-24.
Anuar Jusoh kemudiannya mengambil
giliran untuk mencemaskan kubu lawan tiga minit selepas itu tetapi larian
solonya dari tengah padang gagal disudahkan dengan cemerlang apabila tersasar
sedikit daripada gawang.
Namun keghairahan Sabah membalas
serangan selepas itu memakan diri apabila terpaksa menghadiahkan sepakan
percuma di luar kotak penalti dalam usaha menyekat larian pantas K. Rajan.
Mohd. Aiman Wong Abdullah yang
mengambil sepakan itu pantas melakukan umpanan yang disambar dengan tandukan
oleh Effendi untuk gol pertama perlawanan.
Pada minit ke-52, Negeri Sembilan
sekali lagi mendapat peluang juga melalui sepakan percuma di luar kotak penalti
tetapi sepakan Everson Martinelli Mac ditampan pertahanan Sabah ketika bola
sudah menuju tepat ke sasaran.
Sabah turut memperoleh peluang
untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-62 tetapi hantaran silang Josiah Seton
gagal disambar Zaykiel Leong dengan kemas.
Minit-minit terakhir permainan,
Negeri Sembilan hampir menjelmakan gol kedua tetapi bola hantaran Rajan di
depan gol yang terbuka gagal dimanfaatkan oleh Effendi.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cuyFvhCZ©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan