Jumaat, 31 Mac 2017

Tugas NS belum selesai



ARKIB : 02/06/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH

MISI Negeri Sembilan masih belum berakhir meskipun pasukan itu sudah bergelar juara Piala FA kata jurulatih, K. Devan.

Devan menegaskan bahawa misi pasukannya belum terhenti sebaliknya mahu meneruskan usaha mencari gelaran kedua.

``Kita harus ingat bahawa perjuangan belum selesai,'' kata Devan selepas perlawanan yang mencipta sejarah itu kerana Negeri Sembilan merupakan pasukan Perdana Dua pertama muncul juara.

Devan tidak mahu anak-anak buahnya terbuai dengan habuan yang dijanjikan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan berharap fikiran pemain tidak tergugat daripada menumpukan perhatian untuk memburu kejuaraan Perdana Dua untuk mencari tempat Liga Super musim depan.

``Para pemain hanya diberi cuti rehat selama dua hari sahaja. Pada 5 Jun ini kita akan menghadapi TNB Kelantan dan saya mengharapkan aksi konsisten daripada para pemain,'' jelas Devan, yang meninggalkan jawatan pegawai kanan kesihatan selama setahun kerana tekadnya untuk membantu menaikkan martabat bola sepak Negeri Sembilan.

Devan menangis sebaik sahaja pemain dari Brazil, Everson Martinelli menjaringkan gol emas pada minit ke-95 permainan masa tambahan sudden-death dan memberitahu beliau terharu kerana pengorbanannya membuahkan hasil.

``Tugas untuk menaikkan taraf Negeri Sembilan bukan mudah. Ia satu tanggungjawab besar bagi saya.

``Tetapi keyakinan terhadap diri sendiri dan kepercayaan yang diberikan oleh para pemain, kami telah menjadikan skuad ini sebagai satu unit yang mantap,'' jelas beliau.

Kejayaan kelmarin merupakan yang pertama dalam tempoh 55 tahun bagi Negeri Sembilan sejak merangkul Piala HMS Malaya pada 1948. Sudah tentu wajar bagi Devan untuk menitiskan air mata gembira.

Bagi Perlis, yang menerima hadiah RM50,000 selaku naib juara, kekalahan kepada Negeri Sembilan bukan bermakna mereka gagal.

Perlis, sekali pun dari kelompok pasukan Perdana Satu dan mendapat sentuhan bekas penolong jurulatih negara, Norizan Bakar, pada hakikatnya adalah pasukan underdog dalam perlawanan itu.

Ini kerana Negeri Sembilan memiliki pemain-pemain yang nyata lebih hebat.

Kemampuan mereka membawa skuad Rusa mengharungi perlawanan sehingga ke masa tambahan sudden-death sudah cukup membuktikan betapa Perlis turut layak untuk diberikan penghormatan.

Perlu diingat juga, para penyokong kedua-dua pasukan wajar berasa bangga dengan diri masing-masing kerana berpegang kepada semangat kesukanan yang telah mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Walaupun letupan mercun kedengaran sekali ketika Negeri Sembilan memperoleh gol penyamaan menerusi Effendi Malek pada minit ke-56, perlawanan akhir kelmarin boleh dianggap sebagai paling bersih dan berjaya dalam sejarah bola sepak profesional tempatan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cxsFZ9i2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Teguran bawa tuah



ARKIB : 01/06/2003
TINDAK balas pemain Negeri Sembilan terhadap teguran jurulatih, K. Devan membolehkan pasukan itu bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Perlis dan sekali gus menjadi pasukan Liga Perdana Dua yang pertama menjuarai Piala FA.

Devan berkata Negeri Sembilan ketinggalan pada separuh masa pertama kerana mereka tidak beraksi pada tahap sebenar tetapi bangkit pada babak kedua selepas ditegur semasa di bilik persalinan.

``Saya beritahu mereka, mereka perlu mempamerkan aksi terbaik jika ingin menjuarai Piala FA tahun ini dan membawa piala pertama pulang ke Negeri Sembilan,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah setelah Negeri Sembilan menjuarai Piala FA di Stadium Perak di sini malam tadi.

Negeri Sembilan ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama hasil jaringan pemain Perlis, Phillimon Chipeta tetapi bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi Effendi Malik dan kemenangan menerusi gol emas dijaringkan Everson Martinelli pada masa tambahan.

``Mereka mendengar apa yang saya cakapkan dan kerana itu mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan dan apabila tiba masa tambahan, mereka bijak menyempurnakan peluang yang ada,'' katanya.

``Walaupun Perlis sebuah pasukan yang hebat tetapi corak permainan Negeri Sembilan pada separuh masa kedua memang berkesan. Bagaimanapun,saya mengakui nasib sedikit sebanyak membantu kita. Perlis ada peluang menambah gol tetapi mereka gagal menyempurnakannya tetapi kita berjaya,'' katanya.

Beliau berkata tindakannya tidak menurunkan Azman pada kesebelasan utama boleh dianggap berkesan kerana kemasukan Azman pada sebahagian besar separuh masa kedua banyak membantu serangan Negeri Sembilan.

``Kemenangan ini adalah untuk Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan dan juga seluruh rakyat Negeri Sembilan yang dahagakan kejayaan,'' katanya.

Bagi pengurus pasukan, Datuk Jamaluddin Ahmad semangat melawan pemain-pemain Negeri Sembilan amat tinggi dan kerana itu walaupun ketinggalan, mereka mampu bangkit.

``Amanat di bilik persalinan, menaikkan semangat para pemain. Selain itu, nasib turun membantu kerana permainan berlanjutan ke masa tambahan dan kita yang berjaya mendapatkan gol,'' katanya.

Bagi Everson, 25, dia menganggap gol jaringannya malam ini merupakan gol terbaik yang pernah dilakukannya di Malaysia dan sekali gus membantu Negeri Sembilan buat pertama kali dalam sejarah, menjuarai Piala FA.

``Separuh masa pertama, kami hormati Perlis tetapi pada separuh masa kedua, kami berjaya mengatasi masalah dan menjinakkan Singa Utara itu. Dan pada masa tambahan, siapa yang dulu menjaringkan gol akan menang, saya berjaya lakukannya,'' kata Everson.

Jurulatih Perlis, Norizan Bakar pula berkata para pemainnya telah melakukan yang terbaik dan tidak perlu malu walaupun tewas malam tadi.

``Kita layak ke akhir pun sudah mencipta sejarah. Peluang untuk kita menang ada, cuma kita gagal sempurnakannya. Sebaliknya pihak lawan yang berjaya mendapatkan gol. Inilah bola sepak.

``Mereka bermain baik, cuma nasib tak baik. Apabila kalah, saya tidak mahu menyalahkan pemain saya,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cxoDL1nA
© Utusan Melayu (M) Bhd

N. Sembilan juara Piala FA



ARKIB : 01/06/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
BARISAN pemain dan pegawai skuad Negeri Sembilan meraikan kejayaan meraih Piala FA 2003 selepas menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

JARINGAN emas pemain import dari Brazil, Everson Martinelli pada minit ke-95 dalam aksi sudden-death memastikan Negeri Sembilan mencatat sejarah apabila menjulang Piala FA 2003 buat pertama kali selepas menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir yang sengit di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Bagaimanapun, sebelum itu, Negeri Sembilan terpaksa bekerja keras dalam 90 minit permainan untuk menyamakan kedudukan selepas Perlis mengejutkan pasukan berkenaan dengan mendahului 1-0 pada minit ke-11.

Lim Chang Yew menyelamatkan Negeri Sembilan selepas menghasilkan gol penyamaan Effendi Malik pada minit ke-56 untuk mengheret permainan ke penentuan sudden-death yang menyaksikan skuad Rusa itu cuma mengambil masa lima minit bagi menamatkan aksi dengan kemenangan penuh bergaya daripada Martinelli, hasil gerakan cantik K. Rajan.

Rajan membuat larian cantik di bahagian sayap sebelum melakukan hantaran cantik ke depan pintu gol untuk Martinelli yang dalam keadaan terbaring masih mampu menyepak ke dalam gawang Singa Utara.

Ini merupakan trofi pertama yang berjaya diraih Negeri Sembilan dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.

Kejayaan menjulang Piala FA memastikannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000. Skuad Hoben Jang Hoben hampir menjulang Piala Malaysia pada tahun 2000 tetapi tumpas kepada Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Sementara bagi jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan, ini merupakan kejayaan keduanya setelah membawa skuad remaja Negeri Sembilan muncul juara Piala Presiden tahun lepas.

Bermula perlahan, Negeri Sembilan bangkit pada akhir babak pertama untuk mengimbangi serangan lawan yang kelihatan begitu garang sebaik sahaja sepak mula.

Perlis pula menerkam garang sejak awal babak untuk menguasai pertarungan dan menjadikan permainan babak pertama berat sebelah.

Kepantasan dan pengalaman pengantin baru, Tengku Hazman Raja Hassan serta Rosle Md. Derus menjadikan pergerakan skuad bimbingan Norizan Bakar begitu lancar menghalakan serangan ke kubu skuad Rusa.

Pemain import dari Zambia, Chipeta sentiasa sahaja merobek kubu pertahanan Rusa, yang diterajui oleh pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah.

Pada minit kelapan, Chipeta memerangkap pertahanan lawan hanya untuk menyaksikan hantaran lambungnya disia-siakan oleh pemain berpengalaman, Anuar Jusoh dengan sepakan tingginya.

Tetapi, empat minit kemudian Chipeta mendapat peluang yang baik dan menerpa untuk menolak masuk gol pembukaan. Jaringan berpunca daripada sepakan percuma Rosle Md. Derus yang ditampan oleh Azlisham Ibrahim tetapi bola terkena tiang dan memerlukan kuisan perlahan Chipeta untuk gol pertama.

Asakan yang dilakukan oleh Perlis jelas menyukarkan anak-anak buah Devan untuk menemui rentak. Hanya ketika permainan babak pertama berbaki 10 minit barulah mereka perlahan-lahan membina gerakan lebih kemas.

Wakil Perdana Dua itu makin ghairah selepas perlawanan disambung, menjadikan perlawanan mula seimbang dan berubah menjadi rancak.

Selepas beberapa kali memerangkap barisan pertahanan Perlis, Effendi Malek tidak mampu untuk melepaskan peluang terbuka pada minit ke-56 dengan tolakan mudah menewaskan penjaga gol Perlis, Amran Omar setelah menerima hantaran Luciano Osmar Gonzales.

Permainan tiba-tiba berubah, dikuasai oleh Negeri Sembilan yang beberapa kali menyaksikan percubaan pemain-pemainnya tersasar manakala Perlis seperti patah taring untuk merobek lawan.

Ketika permainan tinggal lapan minit, Azman Adnan yang masuk menggantikan Mohd. Aiman Wong seperti kehilangan idea apabila lambat bertindak untuk melepasi pertahanan lawan setelah menerima hantaran Syaiful Sabtu.

Pada minit ketiga masa tambahan sudden death, Chipeta nyaris memberikan kemenangan kepada pasukannya tetapi sepakannya dari sebelah kanan gol terkena palang dan melantun keluar selepas menerima hantaran jauh ketua pasukan, Muhammad Khaironisam Sahabuddin.

Rupanya, kemenangan ingin menyebelahi Negeri Sembilan apabila pemain dari Brazil, Martinelli menyepak masuk gol kemenangan dalam keadaan dirinya terbaring di atas padang setelah peluang dibuka oleh pemain kebangsaan, Rajan pada minit kelima masa tambahan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxlQBFAT© Utusan Melayu (M) Bhd