ARKIB : 01/05/2006
SEREMBAN - Serba tidak menjadi.
Entah apa yang berlaku pada skuad Negeri Sembilan Naza apabila hanya sekadar
seri tanpa jaringan pada pertemuan menentang Pahang dalam saingan separuh akhir
pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di sini, kelmarin.
Rembatan sudah dilakukan,
gerakan sudah diatur, malangnya gol yang dicari anak buah jurulatih, K. Devan
terus malap, seolah-olah gelanggang sendiri yang dikatakan keramat itu, tidak
berpihak kepada mereka.
Kata Devan, dia tidak tahu apa
yang berlaku kerana pemain tengah dan penyerang bagaikan tenggelam dalam
pertemuan menentang Pahang, kelmarin kecuali pertahanan nampak menyerlah.
Semua tidak menjadi. Corak
permainan hilang, hantaran tersekat-sekat, selalu hilang bola, ada yang tunggu
bola ... apa masalahnya, kata Devan ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambahnya, gerakan penyerang
Che Hishamuddin Hassan yang bergandingan dengan Christian Bekamengo sering
terbantut apabila menerima sekatan kukuh benteng pertahanan Pahang.
Pertemuan dengan Pahang
semalam (kelmarin) bukan aksi sebenar Negeri Sembilan Naza. Keadaan padang yang
becak dan lembab, menjejaskan pergerakan pemain untuk melakukan aksi lebih
pantas. Lagi satu faktor, mungkin juga taktik Pahang yang melakukan one to one
marking.
Pemain tidak mampu bergerak
dan peluang itu diambil Pahang untuk melakukan serangan yang mengejut,
katanya.
Devan akui, Negeri Sembilan
Naza bernasib baik kelmarin apabila gawang dikawal kemas penjaga gol, Azizon
Abdul Kadir, selain kemantapan Khairul Anuar Baharum dan Ching Hong Aik yang
bertindak sebagai ketua pasukan dan mencorakkan aksi di tengah padang.
Kita akan lebih bersedia untuk
berhadapan Pahang pada 13 Mei ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Kita sudah
tahu taktik mereka, kita akan tukar strategi, tegas Devan.
Buat masa ini katanya, Negeri
Sembilan Naza akan memberi tumpuan pada aksi menentang Selangor pada 6 Mei ini
dalam saingan Liga Super di Stadium Bukit Jalil dan selepas aksi tersebut,
tumpuan akan diberikan semula pada saingan Piala FA ini.
Pada aksi kelmarin, Pahang
lebih banyak melakukan serangan apabila memperoleh peluang terbaiknya pada
minit ke-23 menerusi sepakan percuma yang dibuat oleh ketua pasukan, Rosdi
Talib gagal digenggam kemas Azizon dan hampir meleret ke dalam gawang.
Pahang juga melakukan kejutan
pada babak kedua permainan apabila Hairuddin Omar mempamerkan kegarangan dengan
meledakkan dua cubaan pada minit ke-46 dan 47 perlawanan.
First timer yang dilakukan oleh
Hairuddin di kiri gawang tersasar manakala tandukan tiga minit kemudiannya
nyaris menggegar gawang Negeri Sembilan Naza apabila ditepis keluar penjaga
gol, Azizon.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4l4y82Bji
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan