Selasa, 27 Jun 2017

Devan resah NS gopoh



ARKIB : 03/07/2006
Oleh AZRAN FITRI RAHIM

SEREMBAN - Sikap gopoh barisan serangan Negeri Sembilan Naza ketika berdepan gawang Selangor dalam perlawanan pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin membuatkan jurulatihnya, K. Devan resah.

Katanya, barisan serangan yang diterajui oleh pemain import, Christian Bekamenga dan Buston Nagbe Brown gagal menyempurnakan beberapa peluang yang terhidang sepanjang perlawanan itu berlangsung.

‘‘Kita berjaya menguasai permainan pada 15 minit pertama perlawanan dan berjaya mengucar-kacirkan barisan pertahanan pasukan lawan.

‘‘Bagaimanapun kerana kegopohan barisan serangan menyempurnakan beberapa peluang menyebabkan kita terpaksa berpuas hati dengan kelebihan satu gol hasil jaringan Bekamenga sehingga tamat permainan,” katanya di sini, semalam.

Devan bagaimanapun menegaskan beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung.

‘‘Ini merupakan satu permulaan yang baik bagi kempen Piala Malaysia, saya berpuas hati dengan kemenangan yang dicipta malam ini.

‘‘Walaupun kita telah memulakan rentak saingan pertama Piala Malaysia ini dengan baik tidak bermakna kita harus terleka kerana pasukan lain seperti Terengganu dan Sabah juga mampu mencipta kejutan.

‘‘Kita akan fokus pada saingan seterusnya, strategi yang bakal digunakan juga mungkin berubah sedikit bergantung kepada keadaan,” katanya.

Pada perlawanan pertama kempen Piala Malaysia malam tadi, skuad jang memulakan aksi dengan baik apabila menewaskan Selangor 1-0 hasil jaringan pada minit ke-3 oleh Bekamanga.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4lCfcudFj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan