Ahad, 25 Jun 2017

Negeri Sembilan Naza sekadar seri



ARKIB : 23/04/2006
TONGGAK Telekom Melaka, Hafizi Awang (kiri) menghalang penyerang import Negeri Sembilan Naza, Christian Bekamengo Aymard pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan Naza masih berada di tangga teratas walaupun sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika bertemu Telekom Melaka dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam.

Satu mata yang diraih oleh Negeri Sembilan Naza tidak menjejaskan kedudukan di tangga teratas mengutip 33 mata dengan baki tiga perlawanan untuk menentukan juara Liga Super musim ini.

Telekom masih kekal di tangga kedua pula turut merapatkan diri untuk mencabar kedudukan Negeri Sembilan Naza mengutip 29 mata dipisahkan empat mata.

Di Stadium Bandaraya, tuan rumah Pulau Pinang E&O memahatkan kemenangan bergaya apabila menewaskan Selangor 4-3.

Kemenangan tersebut melonjakkan skuad Pulau Mutiara berada di tangga ketiga dengan 28 mata manakala Selangor terus menghuni tangga terbawah liga.

Tuan rumah memecah kebuntuan jaringan awal menerusi Branezac Sasa pada minit kesembilan tetapi disamakan oleh Selangor menerusi Ba Sheikh pada minit ke-11.

Seminit selepas itu Pulau Pinang kembali di depan menerusi jaringan Newton Santos namun Bambang Pamungkas mengikat kedudukan 2-2 melalui jaringan pada minit ke-17.

Santos menambah gol ketiga sebelum S. Sritmaran Maran mengikat kedudukan 3-3 menerusi jaringan di minit ke-65 dan gol kemenangan tuan rumah dijaringkan oleh Mario Cesar Da Silva di minit ke-85.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang menambah derita Perak apabila memahatkan kemenangan selesa menewaskan skuad Seladang 3-1.

Gol-gol Pahang dijaringkan oleh Josiah Seton (m-9), Mitchel James Prentice (m-76) dan Azizul Kamaluddin (m-88).

Manakala gol saguhati Perak dijaringkan oleh R. Surendren pada minit ke-85.

Di Stadium Petaling Jaya, MPPJ terus merana untuk memburu kemenangan apabila tewas 2-1 kepada Perlis.

Sekalipun pemain pertahanan Perlis, Mohd. Feriza Ismail menjaringkan gol sendiri pada minit ke-11 namun Philimon Chepita menjadi penyelamat.

Permata hitam Perlis itu bingkas bangkit meledakkan dua jaringan pada minit ke-35 dan 79 bagi memastikan skuad Singa Utara mengutip tiga mata berharga.

KEPUTUSAN

Telekom 0 N. Sembilan Naza 0

P.Pinang E&O 4 Selangor 3

MPPJ 1 Perlis 2

Pahang 3 Perak 1

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l4gzLVUL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan