Ahad, 25 Jun 2017

Negeri Sembilan Naza tempang tanpa tonggak

ARKIB : 04/05/2006

SEREMBAN - Skuad Negeri Sembilan Naza tempang menjelang pertemuan menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu ini apabila tonggak utamanya, Che Hishamuddin Hassan terpaksa direhatkan selepas menjalani pembedahan di hidungnya, kelmarin.

Pengurus pasukan Negeri Sembilan Naza, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau bimbang dengan ketiadaan Che Hishamuddin yang menjadi tonggak barisan serangan, malahan lebih mencemaskan apabila mendapat khabar, Christian Bekamengo turut mengalami kecederaan, semalam.

Che Hishamuddin telah menjalani pembedahan di hidungnya kelmarin dan kini diberi rawatan di Hospital Colombia, di sini.

Bekamengo pula mengalami kecederaan dan besar kemungkinan kedua-duanya tidak turun bermain ketika menentang Selangor di Bukit Jalil.

Ismail menjelaskan, Che Hishamuddin akan direhatkan sehingga pulih, begitu juga Bekamengo.

Katanya, lebih mencemaskan skuad Negeri Sembilan Naza ialah beberapa lagi pemain berhadapan kecederaan, walaupun tidak serius.

“Kita dapati ramai pemain yang cedera semasa pertemuan menentang Pahang dalam aksi Piala FA lalu. Buston Nagbe Brown begitu juga Jason Williams. Mereka juga cedera,'' ujarnya.

Selain itu kebimbangan Ismail, tentu juga ketiadaan pemain kembar yang menguatkan barisan kesebelasan utama skuad Negeri Sembilan Naza, Mohd Zaquan Adzha dan Mohd Aidil Zafuan kerana kedua-duanya kini menyertai skuad kebangsaan bawah 21 tahun.

“Saya amat berharap Che Hishamuddin akan pulih sepenuhnya pada pertemuan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur pada 13 Mei ini dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA. Cuma apa yang menjadi kerisauan saya ialah pertemuan dengan Selangor.

“Negeri Sembilan Naza perlu menang dengan Selangor, jika mahu menjadi juara Piala Liga Super. Itupun bergantung sekiranya Telekom Melaka tewas dalam aksi mereka Sabtu ini,'' katanya.

Negeri Sembilan Naza kini mendahului senarai Liga Super dengan 33 mata, mengatasi Telekom Melaka yang memperoleh 29 mata setakat ini. Sementara Pulau Pinang di tangga ketiga dengan 28 mata.

Che Hishamuddin yang ditemui di Hospital Colombia di sini semalam berkata, dia perlu berehat secukupnya sebelum beraksi kembali dan kecederaan patah pada hidungnya itu perlu masa untuk pulih.

“Buat masa ini saya tidak cergas dan tidak berlatih. Tidak mungkin saya dapat bermain dalam aksi bertemu Selangor, Sabtu ini. Saya perlukan sedikit rehat untuk kembali cergas. Apabila sudah pulih saya pasti menyarung semula jersi dan menjaringkan gol untuk Negeri Sembilan Naza,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4l5PSlAeM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan