ARKIB : 16/04/2006
PENYERANG Perlis, Phillimon
Chipeta (tiga dari kanan) dikepung oleh tiga pemain pertahanan Pahang dalam
aksi bola sepak Liga Super di Stadium Utama, Kangar semalam. Perlis menang 1-0.
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan
mengukuhkan kedudukan tangga teratas dalam bola sepak Liga Super selepas
mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, semalam.
Kemenangan itu menjarakkan
Negeri Sembilan dengan empat mata dengan pasukan tangga kedua, Telekom Melaka
yang menang di Perak.
Pasukan tangga kedua sebelum
ini, Perak semakin jauh di belakang. Kekalahan 1-0 kepada Telekom Melaka
menyaksikan pasukan lawan itu memintasnya ke tangga kedua liga.
Ketua pasukan Negeri Sembilan,
Khairul Anuar Baharom dan penyerang, Christian Bekamenga masing-masing
menjaringkan gol untuk skuad Rusa pada minit ke-62 dan 70.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan
tuan rumah tumpas menerusi jaringan Mohd. Hardi Jaafar menerusi sepakan percuma
pada minit ke-12, sekali gus memintas Perak dengan kelebihan dua mata (28
mata).
Perlis menewaskan Pahang 1-0 di
Stadium Utama, Kangar menerusi jaringan penyerang, Phillimon Chepita pada minit
kesembilan setelah mendapat umpanan sebelah kanan Lamin Conteh.
Keputusan itu membolehkan
Perlis berkongsi kedudukan mata (21 mata) dengan Pahang dengan tetapi skuad
Singa Utara masih kekal di tangga ketujuh liga.
Selangor pula mencatat
kemenangan kelima setelah menundukkan MPPJ 3-2 di Stadium Nasional, Bukit
Jalil.
MPPJ bagaimanapun mendahului
menerusi jaringan Chow Chee Weng pada minit keenam.
Brian Fuentes menyamakan
kedudukan buat Selangor pada babak kedua minit ke-72 sebelum D. Surendran
meletakkan Red Giants di depan dua minit kemudian.
Pemain import MPPJ dari
Argentina, Juan Manuel Arostegui menyamakan kedudukan pada minit ke-78 sebelum
penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas menjaringkan gol kemenangan Selangor
minit ke-81.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l482n9OS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan