Isnin, 26 Jun 2017

Jang pasang hajat besar



ARKIB : 13/05/2006

Oleh Amran Mulup
 KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan Naza yang hampir untuk bergelar juara Liga Super musim ini kian ghairah untuk menempah tempat ke perlawanan akhir Piala FA pada 20 Mei ini.

Selepas hanya berkeputusan seri 0-0 pada saingan separuh akhir pertama, tugas berat menanti anak didik K. Devan berdepan dengan Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.

Bukan hanya Negeri Sembilan begitu ghairah untuk ke akhir malah Pahang juga turut mengidam untuk memecah kebuntuan tanpa bergelar juara sejak Piala FA mula diperkenalkan pada 1990.

Rentetan daripada itu menjadikan pertembungan dramatik Negeri Sembilan Naza-Pahang menjadi tumpuan memulakan saingan separuh akhir kedua malam ini.

Negeri Sembilan Naza yang pernah menjulang kejuaraan pada 2003 menewaskan Perlis 2-1, memasang hajat besar untuk mencipta gelaran berganda.

Selangkah kaki sudah menggapai Piala Liga Super bakal dinobatkan malam ini sekiranya saingan terdekat Telekom Melaka tewas kepada Selangor.

Jika tidak mereka perlu memenangi baki perlawanan terakhir 23 Mei ini menentang Perak di tempat lawan.

Biar apa pun pertemuan dengan Pahang menjadi tumpuan anak didik K. Devan untuk menyekat pergerakan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua- dua pasukan di Liga Super musim ini jelas seimbang.

Negeri Sembilan Naza menewaskan Pahang 1-0 di pusingan pertama tetapi tewas di pusingan kedua dengan jaringan yang sama di Kuantan dan pertemuan ketiga berkesudahan seri 1-1.

Rekod anak didik Devan di Stadium Darul Makmur jelas menjadi milik Pahang yang menang 1-0 pada 21 Januari lalu hasil jaringan Bernard Tchoutang.

Pelawat pastinya mengharapkan sentuhan jaringan menerusi gandingan Christian Bekamenga dan Che Hishamuddin Hassan.

Pahang pula mahukan kebangkitan Tchoutang dibantu oleh kelincahan Azizul Kamaluddin, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin.

Dalam satu lagi perlawanan pula, Perlis tampak tertekan untuk memadamkan kelebihan satu jaringan milik Singapura B23 yang menang 3-2 pada separuh akhir pertama.

Kelibat Perlis bermain di gelanggang sendiri dan persembahan cemerlang mereka di Piala AFC menjadi suntikan semangat untuk menyekat skuad bimbingan Fandi Ahmad daripada mengisi slot ke perlawanan akhir pada 20 Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l5xYp2Me
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan