Jumaat, 23 Jun 2017

Negeri Sembilan belasah Perak



ARKIB : 26/03/2006
KUALA LUMPUR - Perak terus kempunan memburu kemenangan apabila giliran Negeri Sembilan Naza membelasah pendahulu liga itu 5-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.

Kemenangan besar itu tidak menjejaskan kedudukan Perak masih kekal selaku pendahulu liga sekadar dipisahkan dengan kelebihan jaringan.

Buat Negeri Sembilan Naza kemenangan berpesta gol itu melonjakkan kedudukan pasukan bimbingan K. Devan di tangga kedua liga dengan 25 mata memintas kedudukan MPPJ yang tewas bermain di gelanggang sendiri.

Kegarangan Negeri Sembilan sukar ditandingi oleh Perak apabila Hishamuddin Hassan meledakan dua jaringan pada minit kelima dan ke-52 manakala pemain import Christian Bekamenga pula pada minit kesembilan dan ke-60.

Satu gol lagi pula menerusi Rizal Zamri Yahya pada minit ke-22.

Gol sagu hati Perak pula dijaringkan oleh Abulaye Traore pada minit ke-26.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bambang Pamungkas muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan membantu Selangor mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis.

Gol kemenangan yang dijaringkan oleh Bambang menerusi rembatan kencang pada minit ke-58 sudah cukup menceriakan Selangor yang semakin pulih memahatkan kemenangan.

Ini adalah kemenangan ketiga Selangor dalam tempoh seminggu bermula membenam Telekom Melaka 5-2 dan Hurriya SC 3-0 dalam saingan Piala AFC.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang E&O gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri apabila sekadar mampu seri 1-1 bertemu Pahang.

Bagaimanapun tuan rumah lebih awal membuka tirai jaringan menerusi Saufi Ibrahim pada minit ke-29.

Namun Pahang berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti Josiah Seton pada minit ke-74.

Kesilapan pemain import tuan rumah Mario Cesar da Silva menampan bola di kawasan penalti membawa padah buat pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Di Stadium Petaling Jaya, Telekom memahatkan kemenangan bergaya apabila menewaskan MPPJ 3-1.

Telekom membuka tirai jaringan pertama menerusi Hardi Jaafar pada minit ke-18 namun MPPJ berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan Amir Shahrin pada minit ke-62.

Penyerang kebangsaan, Rudie Ramlie bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-75 dan Safuan Adli menambah gol ketiga pada minit ke-85.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kpjZlCdE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan