Jumaat, 2 Disember 2016

Tuah memihak pada N. Sembilan

ARKIB : 05/05/1999
NEGERI Sembilan terpaksa bekerja keras sebelum melangkah ke suku akhir bola sepak Piala FA selepas menang tipis 1-0 keatas NS Chempaka di Stadium Paroi, Seremban semalam.

Perlawanan itu menyaksikan persembahan terburuk skuad Rusa, yang nyaris diaibkan oleh NS Chempaka.

Anak-anak buah jurulatih Irfan Bakti nyata gagal memberikan persembahan terbaik meskipun berbekalkan kesebelasan utama yang beraksi pada perlawanan itu.

Begitupun kemenangan tipis itu membolehkan NS layak menerusi agregat 3-2 selepas seri 2-2 pada pertemuan pertama.

Hanya tuah memihak skuad NS apabila pemain gantian, Faizal Zainal menyelamatkan maruah NS menerusi rembatan kencang untuk gol kemenangan pada minit ke-81.

Separuh masa pertama menyaksikan permainan hambar kedua-dua pasukan, yang terlalu berhati-hati ketika melakukan serangan.

NS Chempaka yang diletakkan dalam saingan kumpulan kedua liga, nyaris mendahului NS apabila rembatan Paul Raj tersasar di luar jaring pada minit ke-34.

Ketiadaan pemain utama NS, Zami Mohamad Noor jelas menjejaskan rentak serangan NS namun pemain gantian, Arfandi Lokman bertindak cemerlang selepas menanduk bola hantaran M. Ellango pada minit ke-41 namun tandukan itu terkena palang gol.

Babak kedua permainan menyaksikan permainan yang lebih sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan corak permainan keras.

Agak mengecewakan pada minit ke-68 apabila tonggak pertahanan NS, Khairul Anuar Baharom diarah keluar padang selepas menerima dua kad kuning apabila dia mengasari S. Ramesh.

Jentera NS yang bermain dengan 10 pemain seperti kehilangan punca namun tuah bagi NS apabila pemain NS Chempaka, Nurhaizam Baijuri turut menerima padah apabila diarah keluar padang selepas mengasari Arfandi Lokman.

Perlawanan agak mencemaskan pada minit-minit terakhir namun tidak ada sebarang tindak balas bagi mengubah kedudukan sehingga wisel penamat.

Sementara itu, Kedah menempah tiket ke suku akhir menerusi agregat 3-1 selepas menumpaskan Telekom Melaka 1-0 pada perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Pemain gantian, Wirat Nom yang dimasukkan pada minit ke-70, menjadi pemusnah Telekom Melaka menerusi gol tunggalnya untuk meranapkan impian pasukan itu meneruskan perjuangan ke suku akhir.

Berbekal kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama di Melaka pada 20 April lalu, Kedah mempamerkan aksi kurang bermaya di hadapan kira-kira 2,000 penonton pada awal babak pertama.

Sehingga minit ke 26, aksi perlawanan mula rancak apabila Kedah membuka laluan dengan satu serangan yang hampir-hampir mengundang padah kepada Telekom Melaka.

Gerakan bermula dari Rafiz Abu Bakar yang membuat larian solo dari arah tepi lalu mengumpan bola kepada Norizam Ali Hassan yang dikawal rapi oleh pemain pertahanan Telekom Melaka.

Kelicikan Norizam memperdaya pertahanan Telekom Melaka tidak mencukupi apabila sepakan kencangnya hanya menyaksikan bola mencecah palang.

Kedah semakin garang melakukan asakan ke kubu lawan namun serangan demi serangan yang dilakukan mudah dipatahkan oleh pertahanan Telekom Melaka.

Kedah mengakhiri kemarau gol pada minit ke 79 menerusi Wirat yang masuk menggantikan Izham Abas pada minit ke 79 melalui satu ledakan deras dari jarak 40 meter untuk menewaskan Azhar.

Gol berpunca dari tolakan yang dilakukan oleh Ahmad Zalghafari Manaf ari penjuru padang untuk memberi laluan kepada Wirat melepaskan rembatannya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RghQoF7p © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan