Sabtu, 3 Disember 2016

NS belasah Pahang


 

ARKIB : 30/05/1999
NS belasah Pahang
PEMAIN Perak, Domi Che Non terpaksa melompat selepas dihalang oleh penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim sambil dibantu oleh Abd Ghani Malik (kanan) dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Trengganu semalam. - Gambar ABD RAHMAN SALEH.

NEGERI Sembilan menyulitkan kedudukan Pahang untuk terus menerajui liga bola sepak Perdana Satu apabila menewaskan lawan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.

Jaringan besar tuan rumah sekali gus mencipta aib besar buat Pahang biarpun tidak terusik di tangga teratas setelah pencabar terdekatnya, Pulau Pinang sekadar menang menerusi sepakan penalti.

Skuad Tok Gajah kini mengumpul 26 mata tetapi kekal teratas dengan kelebihan jaringan walaupun terikat dengan Pulau Pinang yang menambah dua mata di Kuching, semalam.

Penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Noor memulakan usaha 'melukakan' Pahang itu apabila sentuhannya menepati sasaran pada minit ke-22.

Negeri Sembilan kian garang pada minit ke-37 dengan Azmi Mohamad, bekas pemain kebangsaan membawa tuan rumah mara 2-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Pahang terus longlai di bawah kesungguhan skuad Rusa untuk memburu gol apabila jaringan Leong Hong Seng dan Khairil Zainal melengkapkan kemenangan tuan rumah pada minit ke-70 dan 90.

Sabah pula meneruskan kecemerlangan apabila menumpaskan Brunei 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Barakas, Bandar Seri Begawan.

Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut bagi Sabah sejak Ken Worden mengambil alih melatih skuad Badak dari Justin Ganai, awal bulan ini.

Begitu pun, kedudukan Sabah dalam liga kekal di tangga tercorot tetapi berkongsi 19 mata dengan lima pasukan di atas apabila pasukan terdekat, Perak turut meraih kemenangan semalam.

Pada perlawanan semalam, penjaga gol berpengalaman Khairul Azman Mohamad muncul penyelamat bagi Sabah apabila berjaya mempertahankan gawangnya sehingga memaksa penentuan sepakan penalti.

Ketangkasan Khairul menyelamatkan pintu golnya apabila kedudukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 masa permainan, memberikan dua mata kepada Sabah untuk mencerahkan peluang bermain dalam Piala Malaysia.

Sebaliknya Brunei, yang turut mempamerkan persembahan memberangsangkan sejak akhir-akhir ini, terpaksa berpuas hati dengan hanya meraih satu mata selepas gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri.

Walaupun kedua-dua pasukan saling menyerang, tiada satupun jaringan dapat disaksikan sepanjang masa permainan sehingga memaksa perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti.

Khairul bagaimanapun bertindak cemerlang untuk tidak melepaskan sebarang gol dalam tiga sepakan penalti oleh pemain Brunei berbanding pemain Sabah yang berjaya melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.

Dua mata milik muktamad Sabah apabila tiga sepakan penalti menghasilkan gol ketika tiga lagi sepakan oleh pemain Brunei gagal membuahkan sebarang hasil.

Sementara itu, Azrul Amri Burhan bertindak cemerlang dengan menyumbat dua gol untuk membantu Perak menang 2-1 ke atas Terengganu dan seterusnya bangkit daripada kedudukan terbawah dalam senarai kedudukan mata.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam tercemar dengan kad merah yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain.

Azrul menyumbat gol pertama untuk Perak pada minit ke-53 hasil sepakan percuma dan disusuli pula dengan gol keduanya pada minit ke-58.

Terengganu yang menyerang balas berjaya merapatkan jurang pada minit ke-60 menerusi Sapian Wahid hasil hantaran Badrul Hisham Abdullah.

Terdahulu, kekasaran berlaku antara kedua-dua pasukan pada minit ke-32 menyebabkan pengadil perlawanan Mohd. Nazri Abdullah melayangkan kad merah kepada Anuar Jusoh dan Abu Bakar Fadzim.

Mohd. Nazri turut melayangkan kad kuning kepada pemain Terengganu, Rosli Omar pada minit ke-24 dan kepada pemain Perak, Domi Che Non pada minit ke-35.

Perlawanan separuh masa kedua juga menyaksikan pergerakan pemain Terengganu yang serba tidak kena menyebabkan benteng pertahanannya gagal memintas pasukan lawan.

Perak menerima tendangan percuma di luar kawasan penalti Terengganu dan tendangan Domi Che Non terkena benteng pertahanan Terengganu tetapi dirembat kali kedua oleh Azrul Amri.

Azrul Amri menghukum pertahanan Terengganu yang sering membuat kesilapan lima minit kemudian dengan gol kedua peribadinya untuk mencerahkan harapan dan peluang Perak.

Terengganu walaupun ketinggalan 2-0, tidak berputus asa dan dua minit kemudian Sapian Wahid merapatkan kedudukan.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RmomB9l6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan