Ahad, 25 Disember 2016

Keramat Paroi

Arkib 2016
 
PEMAIN Negeri Sembilan Goran Jerkovic (tengah) antara sandaran skuad Jang.

Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my


Seremban: Negeri Sembilan bertekad untuk memastikan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dapat dimanfaatkan bagi mencari bekalan selesa apabila turun menentang Kedah, dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pertahanan tengah pasukan itu, Mohd Nasriq Baharom berkata, biarpun misi itu bukan mudah dicapai kerana mengakui ada jurang antara mereka dengan pasukan lawan, tetapi mereka yakin matlamat itu tidak mustahil dicapai.


Menurutnya, pemain skuad itu perlu ada keyakinan diri untuk memastikan reputasi skuad Helang Merah yang turun selaku antara pasukan terbaik dalam Liga Super, dapat diatasi.

Tonggak berpengalaman itu yang pernah merasai suasana cabaran dalam Piala Malaysia ketika bersama Selangor dan FELDA United berkata, keyakinan diri yang tinggi dan fokus terhadap perlawanan, menjadi elemen penting ketika berdepan saingan peringkat tertinggi itu.

“Berbeza dengan saingan dalam Liga Perdana, cabaran suku akhir Piala Malaysia menuntut setiap pemain memberikan persembahan lebih 100 peratus, tambahan pula kita akan berdepan dengan Kedah, yang sudah membuktikan kemampuan mereka dalam Liga Super.

“Justeru, pemain Negeri Sembilan perlu ada keyakinan untuk menghadapi cabaran itu, Ahad ini, dan kelebihan beraksi di tempat sendiri tidak boleh dipersiakan untuk kita menang,” katanya semalam.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengalas cabaran dan bertekad memberi persembahan terbaik dalam misi melakar kemenangan.

Menurut Nasriq, biarpun ramai pihak beranggapan skuad Hoben Jang Hoben bakal berdepan laluan sukar untuk mengatasi Kedah berpandukan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana, namun dia yakin mereka boleh mencipta kejutan.

Malah, dia yakin rakan sepasukan tidak akan mensesiakan peluang untuk membawa pasukan melangkah lebih jauh dalam kempen merebut trofi berprestij itu, selepas sasaran untuk menjuarai Liga Perdana, tersasar.

“Selepas sasaran dalam liga tidak tercapai, kami akan menggunakan peluang dan kesempatan dalam saingan Piala Malaysia ini untuk mencipta sesuatu yang terbaik,” katanya.

Menurutnya, kemaraan sehingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia membangkitkan semangat pemain terutama barisan muda dalam skuad itu, yang belum pernah merasai suasana dan cabarannya.

Oleh itu dia yakin, situasi itu akan mendorong setiap pemain berusaha keras untuk memberikan persembahan terbaik dan habis-habisan, esok.

“Saya berharap penyokong dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kerana sokongan mereka amat diharapkan dalam membantu menaikkan semangat serta meningkatkan keyakinan pemain,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:24 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan