ARKIB : 12/05/1999
HASRAT Kedah (Kenari) untuk
terbang menggapai awan biru kecundang jua selepas terkulai dibelasah Negeri
Sembilan 0-2 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Corak permainan keras yang
dipamerkan oleh skuad Kenari tidak berkesan malah mudah dijinakkan dengan
permainan kemas yang ditonjolkan oleh anak buah jurulatih Irfan Bakti.
Zami Mohd. Noor dan Azmi
Mohamad muncul wira tuan rumah apabila memusnahkan impian Kedah pada
minit-minit ke-25 dan 34.
Gol pertama Negeri berpunca
daripada gerakan pantas Azmi yang berjaya mengelecek tiga pemain benteng Kedah
sebelum membuat hantaran lambung kepada Zami.
Zami yang berada dalam keadaan
sukar bagaimanapun mempamerkan kemahiran yang cukup menyaksikan sepakan libasnya
menerjah gawang Kedah tanpa dapat diselamatkan oleh Amran Omar.
Belum pun Kenari dapat menarik
nafas seketika, Negeri Sembilan sekali lagi menghukum lawannya dengan tambahan
jaringan oleh Azmi pada minit ke-34.
Gol Azmi itu berpunca daripada
hantaran Leong Hong Seng yang pada mulanya ditampan oleh Amran namun bola yang
termuntah keluar pantas disambar Azmi untuk merembat kencang.
Kedah yang tenggelam punca
ternyata terpaku dengan gerakan pantas jentera serangan Negeri Sembilan yang
terus tidak memberi ruang untuk Kedah bertindak balas.
Kedah yang semakin terdesak
untuk mencari gol mula mempamerkan rentak permainan keras sehingga pemain
Negeri Sembilan tertekan akibatnya.
Desakan itu kian terasa apabila
Kedah memasukkan Mohd. Sofi Mat Isa dan pemain veteran, Radhi Mat Din pada
babak kedua permainan.
Kemasukan Radhi sedikit
sebanyak mengubah rentak permainan pasukan pelawat apabila mereka mula mengatur
asakan demi asakan.
Bagi mengimbangi semula
keletihan beberapa pemain, Negeri Sembilan membawa masuk Effendy Malea dan
Halim Jantan dengan mengeluarkan Azmi dan Shukor Adan.
Negeri Sembilan terus mengasak
kubu Kedah pada minit terakhir permainan namun serangannya sering tersasar.
Semangat untuk menambah
jaringan makin memuncak apabila pemain pertahanan Negeri Sembilan, Khairul
Anuar Baharom dan Syamsul Akmar sering berlari ke tengah untuk membantu rakan
lain.
Namun aksi menarik mereka hanya
menghiburkan kira-kira 5,000 penonton tanpa berjaya mengubah keputusan sehingga
wisel penamat dibunyikan.
Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RkttHhdd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan