ARKIB : 26/06/1999
SATU gelaran sudah terlepas
buat empat pasukan yang pasti tidak mahu membiarkan hajat seterusnya - memiliki
gelaran ketiga berprestij bola sepak negara, Piala FA 1999 - berkubur begitu
sahaja sebaik berlangsungnya separuh akhir kedua, malam ini.
Setelah Liga Perdana Satu tahun
ini dimiliki Pahang, Piala FA bakal menjadi penawar Negeri Sembilan,
Terengganu, Sabah atau Kuala Lumpur yang bakal menyajikan saingan begitu
sengit.
Namun, kelebihan awal berpihak
kepada Terengganu dan Kuala Lumpur yang mencipta kemenangan dalam separuh akhir
pertama di gelanggang sendiri sebelum bertandang ke stadium lawan.
Terengganu agak selesa apabila
menewaskan Negeri Sembilan 2-0 manakala Kuala Lumpur sekadar mencipta
kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah.
Di sebalik kemenangan 2-0,
Terengganu berdepan tentangan sengit daripada Negeri Sembilan dalam pertarungan
separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
Walaupun ketinggalan dua jaringan,
Negeri Sembilan sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang beraksi di gelanggang
sendiri untuk membuka laluan ke perlawanan akhir Piala FA, sesuatu yang
diidamkan sejak sekian lama.
Negeri Sembilan memiliki
barisan pemain handalan seperti tonggak skuad kebangsaan, penjaga gol, Azmin
Azram Aziz, B. Rajinikandh dan Zami Mohd. Noor yang boleh menggugat skuad
lawan.
Bagaimanapun, Terengganu juga
mempunyai impian yang sama untuk memburu Piala FA 1999 setelah gagal menjuarai
Piala Malaysia tahun lalu dan terpaksa bermain dalam play off sebagai kelayakan
ke Piala Malaysia musim ini.
Beraksi dalam play off masih
belum memastikan janji Terengganu untuk layak ke Piala Malaysia kerana berdepan
beberapa lagi pasukan yang boleh mengancam kedudukannya.
Sehubungan itu, daripada
''dikejar tidak dapat, dikendong pula keciciran,'' Terengganu mahu memastikan
kelebihan dua jaringan sebagai pendorong untuk terus memberi tekanan kepada
Negeri Sembilan bagi menepati matlamat ke perlawanan akhir.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu,
pasukan tuan rumah Sabah masih mempunyai kesempatan untuk mengatasi Kuala
Lumpur yang sekadar berbekal satu jaringan.
Berbekal kelebihan satu
jaringan, Kuala Lumpur menghadapi tugas berat untuk menentang Sabah yang
mempunyai semangat cukup tinggi seperti dipamerkan dalam Perdana Satu.
Bayangkan, daripada skuad
kelompok terbawah Perdana Satu, Sabah bukan sahaja ''melonjak'' ke atas untuk
layak ke Piala Malaysia, malah kemampuannya mendudukki tangga keempat perlu
diberi perhatian.
Hanya satu masalah yang
membimbangkan Sabah apabila tonggak pertahanan Vaselin Kovacevic, Jelius Ating
dan penyerangnya, David Rocastle mengalami kecederaan tetapi barisan simpanan
pasukan ''Negeri Di Bawah Bayu'' masih mampu melaksanakan tugas dengan
berkesan.
Kuala Lumpur pula tidak
bersandarkan ''bintang'' tetapi barisan pemain mudanya mempunyai tahap
kecergasan tinggi untuk menyekat Sabah yang mencari kelebihan agregat di
gelanggang sendiri.
Jurulatih Mat Zan Mat Aris
sudah pasti meletakkan pemain terbaiknya untuk memastikan kemenangan tipis
diperoleh bakal menjanjikan kemenangan skuad ''warga kota'' bukannya pemusnah
selepas berpenat membuka peluang yang mungkin sukar terhidang lagi.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RxMaPCli
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan