Ahad, 4 Disember 2016

NS masih memburu

ARKIB : 13/06/1999
NEGERI Sembilan mengesahkan tempat ke Piala Malaysia secara automatik, sekali gus meneruskan saingan untuk memburu kejuaraan bola sepak Liga Perdana Satu meskipun tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan masa penuh terikat 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Sebaliknya, Sarawak masih terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk layak ke Piala Malaysia walaupun berjaya mencuri dua mata di tempat lawan.

Negeri Sembilan ketinggalan pada minit ke-15 menerusi jaringan penyerang Sarawak, Mohd. Safri Amit sebelum Mohd. Rezal Hassan menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian.

Kedua-dua pasukan gagal menambah sebarang gol pada babak kedua yang memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti yang memihak kepada Bujang Senang.

Sementara itu di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah sudah boleh melupakan hajat untuk mempertahankan mahkota Piala Malaysia apabila tewas 1-3 menerusi penentuan tendangan penalti kepada Kuala Lumpur selepas terikat 0-0.

Ketika persaingan untuk layak ke Piala Malaysia menjadi matlamat, gol awal jelas menjadi buruan kedua-dua pasukan sebaik babak pertama dimulakan.

Perak menerusi Azrul Amri Burhan lebih dulu mencemaskan pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-3 tetapi percubaan dari luar kotak penalti tidak menepati sasaran.

Kuala Lumpur yang cuba bertindak balas banyak menggunakan serangan balas pantas untuk menembusi pertahanan tuan rumah tetapi mendapati sukar melepasi benteng yang diketuai Roslan Hamid.

Perak selepas itu lebih banyak menguasai permainan dan pada minit ke-25, Azrul sekali lagi terlepas peluang bila kawalan kemasnya dalam kotak penalti berjaya menewaskan dua pertahanan Kuala Lumpur tetapi gagal pula menyepak kemas.

Berakhir tanpa jaringan, babak kedua menyaksikan permainan berubah tempo dengan kedua-dua pasukan bermain lebih agresif untuk memecah kebuntuan gol.

Namun tiada jaringan dihasilkan dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan bagi penentuan dibuat menerusi tendangan penalti.

Sementara itu, harapan Terengganu untuk beraksi dalam Piala Malaysia belum pudar apabila menewaskan Bru]nei 2-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan Penyu yang berada di tangga terbawah liga berjaya menyelamatkan air mukanya setelah mendapat tendangan penalti pada minit ke-32 separuh masa kedua apabila bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Brunei.

Tendangan penalti itu yang diambil oleh Mohd. Noor Derus ditendang dengan mudah dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Brunei, Ibrahim Abu Bakar.

Zulharishan Awang pula berjaya menjaring kedua Terengganu pada minit ke-37 separuh masa kedua setelah berlaku perebutan di depan pintu gawang Brunei.

Sebelum itu pada separuh masa pertama memperlihatkan lebih empat kali cubaan kencang dilakukan oleh pemain-pemain Terengganu ke pintu gol lawan tetapi gagal disudahkan oleh pemain mereka sendiri.

Mohd. Nafuzi Zain yang jarang sekali diturunkan pada perlawanan Liga Perdana ini gagal menyempurnakan umpanan yang diterima daripada rakan-rakannya walaupun berpeluang berbuat demikian.

Bagaimanapun Mohd. Nafuzi turut bertindak cemerlang dengan cubaan kencang pada minit ke-20, ke-39 dan ke-43 tetapi berjaya disekat oleh penjaga gol Brunei.

Brunei bagaimanapun memperlihatkan asakannya pada separuh masa kedua dengan cubaan yang dilakukan oleh Rosli Leman pada minit ke-24 tetapi gagal mendapat penyudahnya.

Pada separuh masa pertama pemain-pemain Brunei yang cuba menggasak ke kubu lawan bagaimanapun sering terperangkap dengan off-side.

Dua pemainnya iaitu Rosli Liman dan Mohd Brian Iman Bothwell menerima kad kuning masing-masing pada separuh masa pertama dan separuh masa kedua.

Pada minit ke-22 separuh masa kedua berlaku perlanggaran antara pemain Terengganu dengan penjaga gol, Jeffrey Mohamad di hadapan pintu gol Brunei menyebabkan kecederaan kepada Jeffrey dan terpaksa diusung keluar.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&secSukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RsPxqggD 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan