ARKIB : 08/04/1999
MESKIPUN berjaya mencatat
kemenangan selepas dibelasah teruk oleh Pahang, Negeri Sembilan menganggap
masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan bagi mengharungi laluan seterusnya
dalam bola sepak Perdana Satu musim ini.
Dua keputusan yang berbeza
dalam tempoh seminggu itu memaksa pasukan Rusa itu melakukan sesuatu.
Kelemahan paling ketara yang
dikenal pasti ialah ketumpulan jentera barisan serangan.
Masalah persefahaman antara
pemain turut menjadi agenda utama. Ini kerana masalah itulah yang menjadi punca
kegagalan jentera serangan menembusi pertahanan lawan.
Dalam beberapa perlawanan
terdahulu, jentera serangan Negeri Sembilan sukar menjaringkan gol walaupun
mencipta banyak peluang di depan pintu gol.
Hakikat ini diakui sendiri oleh
pengurus pasukan Negeri Sembilan, Jamaluddin Ahmad ketika dihubungi di
Seremban, semalam.
Katanya, pihak pengurusan akan
menggembeling tenaga bersama jurulatih, Irfan Bakti bagi mengenal pasti
beberapa kelemahan dalam masa terdekat ini.
''Kami akan pastikan setiap
posisi dalam pasukan Rusa mempunyai kekuatan seimbang serta mampu menahan
asakan pihak lawan dan pada masa yang sama mencipta jaringan,'' kata
Jamaluddin.
Mengulas kemenangan tipis
Negeri Sembilan 1-0 ke atas Perak kelmarin, beliau menjelaskan bahawa Negeri
Sembilan sepatutnya mampu menjaringkan banyak gol tetapi mempersia-siakan
banyak peluang.
Jamaluddin berkata, perlawanan
itu menunjukkan kelemahan dari segi persefahaman antara pemain-pemain
terutamanya barisan depan.
Katanya lagi, masalah ini juga
mungkin berpunca dari ketiadaan penyerang, Faisal yang digantung satu
perlawanan kerana memungut dua kad kuning pada perlawanan yang lepas.
Mengenai kekalahan 5-0 kepada
Pahang Sabtu lalu, beliau menjelaskan ia disebabkan ramai pemain utama tidak
dapat beraksi kerana mengalami masalah kecederaan selain penggantungan selepas
mengumpul dua kad kuning.
Jelasnya, ketiadaan B.
Rajnikand yang terpaksa direhatkan satu perlawanan kerana dua kad kuning dan
kecederaan Faizal Zainal, Rusa nyata nampak goyah di bahagian pertahanan.
''Jika pertahanan tidak mampu
menahan asakan pihak lawan, bagaimana bola hendak sampai kepada pemain
serangan,'' ulasnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RSgzOZRY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan